Tanjong Malim, 10 November 2025– Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak Anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Muallim dengan Kerjasama UPSI Sasarkan 200 Peserta di Mukim Hulu Bernam Timor.

Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak mendapat pengiktirafan apabila dipuji oleh YAB Perdana Menteri dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Perak atas keberkesanannya membasmi kemiskinan di negeri itu. Dilancarkan pada tahun 2024, program ini diteruskan pada tahun 2025 dengan tumpuan khusus terhadap isu kemiskinan sikap. Usaha ini bertujuan mengubah mentaliti masyarakat serta mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan, dengan memberi fokus kepada generasi kedua dalam kalangan isi rumah miskin, miskin tegar dan masyarakat berpendapatan B40.

Sesi motivasi pendidikan  PM Dr Abdul Halim bersama pelajar

Program One Stop Centre (OSC) yang berteraskan dua komponen utama iaitu Modul Ibu Bapa dan Modul Anak-Anak, dilaksanakan bagi memperkukuh peranan keluarga dalam menyokong pembangunan pendidikan golongan belia. Melalui program ini, anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah dibantu untuk memberi fokus sepenuhnya kepada pelajaran, di samping didedahkan kepada peluang pendidikan berasaskan kemahiran melalui program TVET.

Inisiatif ini turut menekankan pembinaan jati diri dan rasa tanggungjawab anak-anak terhadap keluarga. Pada masa sama, ibu bapa diberikan pendedahan mengenai kepentingan ilmu serta peranan mereka dalam membentuk masa depan pendidikan anak-anak, sekali gus mengukuhkan hubungan sokongan antara keluarga dan institusi pendidikan.

Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak turut menekankan Modul Anak-anak, yang menyasarkan pelajar berumur 13 hingga 17 tahun, termasuk mereka yang tercicir dalam pelajaran, berpotensi tercicir, serta pelajar cemerlang akademik. Bagi pelajar yang kurang minat dalam bidang akademik, mereka akan diperkenalkan dengan Program TVET mengikut minat masing-masing, membuka peluang kepada kerjaya berasaskan kemahiran.

Program ini mendapat perhatian dan perkenan daripada barisan pengurusan teras, termasuk Dato’ VC Md Amin Md Taff, Prof. Dr Khalid (Dekan), dan pengurusan Fakulti Pembangunan Manusia, yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Menurut Prof. Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, program ini merupakan permulaan yang signifikan dan dijangka memberi impak besar kepada fakulti dan universiti dalam membantu generasi muda B40, khususnya dalam meningkatkan kesedaran terhadap pendidikan dan kerjaya masa depan.

Antara penceramah dan kumpulan perunding yang terlibat dalam program ini ialah Prof. Madya Abdul Halim Masnan selaku Ketua Program, Dr. Nor Mashitah Mohd Radzi dari Fakulti Pembangunan Manusia, Taquddin Abd Mukti, serta Prof. Madya Dr Hafizul Fahri Hanafi daripada META.

Program ini dicadangkan untuk dilaksanakan di Scholar Suites, UPSI. Program ini melibatkan kumpulan sasar  100 orang pelajar dan 100 orang ibu bapa.  Pengisian Program turut melibatkan Modul Pelajar dan Modul Ibu Bapa yang disampaikan oleh penceramah UPSI.

Persembahan Kumpulan BITARA

Majlis penutup dilaksanakan pada sebelah petang dengan kehadiran YB Dato’ Salbiah Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Majlis tersebut akan merangkumi penyampaian sijil kursus peserta, kotak makanan, dan sijil kepada Rakan Strategik.

Program OSC Sejahtera Sosial Negeri Perak ini diharapkan dapat dijayakan dan mencapai objektif yang ditetapkan. Dengan penekanan pendidikan kepada generasi kedua, program ini dijangka dapat membantu mengatasi masalah kemiskinan di negeri Perak.