Oleh: Afifah Adriana Aznan
Teluk Intan, 2 Disember 2025– Keprihatinan terhadap nasib mangsa banjir terus menjadi keutamaan ResQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila pasukan tersebut turun padang menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas di Kampung Sungai Tukang Sidin dan Kampung Degong, Teluk Intan.
Menurut ketua misi, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah kehadiran mereka bukan sekadar untuk menyalurkan bantuan fizikal, malah memberi sokongan moral kepada mangsa yang terjejas.



“Kami mahu mangsa tahu bahawa mereka tidak bersendirian. Tanggungjawab sosial ini perlu dikongsi bersama,” katanya.
“Dengan situasi banjir yang masih belum pulih sepenuhnya, ResQ Team UPSI bersiap siaga untuk meneruskan bantuan dari semasa ke semasa. Diharapkan usaha ini dapat meringankan beban mangsa serta memulihkan semangat mereka untuk bangkit semula”.


Dalam operasi tersebut, seramai 53 orang sukarelawan terdiri daripada staf dan mahasiswa dari V-FSK4U, Fakulti Pembangunan Manusia, Majlis Perwakilan Pelajar dan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) telah membantu dari segi pembersihan awal dan kerja-kerja penyelamatan barang berharga.
Beberapa rumah penduduk yang ditenggelami air turut dibantu Walaupun berdepan keadaan cuaca tidak menentu, para sukarelawan terus komited melaksanakan tugasan dengan penuh disiplin dan kesungguhan.


Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata kehadiran mahasiswa di lapangan adalah bukti jelas peranan universiti sebagai institusi yang membina manusia holistik alam menyahut agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan mahasiswa yang seimbang dari aspek intelektual, nilai dan kepimpinan.
Usaha murni ini jelas mencerminkan semangat kesukarelawanan UPSI dalam mendidik generasi mahasiswa yang bukan sahaja berilmu, malah mempunyai jiwa prihatin terhadap masyarakat. ResQ Team UPSI turut bertekad untuk terus bersedia digerakkan pada bila-bila masa jika keadaan memerlukan.

