Oleh: Siti Nur Huda Suratin, Erina Anisa Azri & Nur Munira Azman
PULAU PINANG, 29 November 2025 – Festival Burung Pantai 2025 melabuhkan tirainya pada 30 November selepas dua hari berlangsung dengan pelbagai aktiviti pendidikan pesisir pantai, pertandingan fotografi dan program kemasyarakatan di Unit Nelayan Sungai Tembus. Acara yang dianjurkan dari 29 hingga 30 November 2025 ini menghimpunkan organisasi pemuliharaan, agensi kerajaan, peminat fotografi, institusi pendidikan serta penduduk setempat bagi meraikan burung pantai hijrah dan warisan pesisir Seberang Perai Utara. Tema tahun ini, “Shared Spaces, Shared Futures” turut menyerlahkan kepentingan tanggungjawab kolektif dalam melindungi habitat pesisir.
Usaha ini penting demi kelangsungan hidupan liar dan kesejahteraan manusia, khususnya berkaitan peranan tanah lembap Teluk Air Tawar-Kuala Muda sebagai lokasi persinggahan utama sepanjang Laluan Penerbangan Asia Timur–Australasia. Burung pantai atau shorebird merupakan spesies yang berhijrah dari hemisfera utara ke kawasan khatulistiwa untuk mengelakkan musim sejuk, dan kebanyakan daripadanya kini dikategorikan sebagai spesies terancam di peringkat global.

Festival ini menerima lebih daripada 300 pengunjung dan peserta sepanjang dua hari penganjuran, mencerminkan sokongan komuniti yang kukuh terhadap pemuliharaan dan ekopelancongan. Festival ini dianjurkan oleh Projek Shorebird Peninsular Malaysia (SPMP), dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Canon Marketing Malaysia sebagai penganjur bersama, serta dibiayai oleh Persatuan Konservasi Biji Alam. Festival ini turut disokong oleh Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST), UPSI, UMT, PERHILITAN, Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang, MNS, PNK, Optisan dan Think City.
Majlis perasmian pada 29 November telah disempurnakan oleh Dato’ Hj Baderul Amin Abdul Hamid, Datuk Bandar Seberang Perai yang turut menyampaikan ucapan serta merasmikan Pertandingan “Shorebird Photo Race”. Turut hadir, Dr. Nur Munira Azman, pengasas dan penyelaras Shorebirds Peninsular Malaysia Project (SPMP) yang menyampaikan ucapan alu-aluan.

Menurut Dr Nur Munira yang juga seorang pensyarah Fakulti Sains dan Matematik, UPSI, festival tahun ini membawa makna besar kepada usaha pendidikan konservasi pesisir.
“Festival Shorebird ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan juga di Asia Tenggara, kerana ia memberi tumpuan kepada aktiviti pendidikan pemuliharaan burung pantai dan tanah lembap. Kami menyediakan pelbagai aktiviti untuk semua peringkat umur, khususnya ‘Shorebird Photo Race’ yang julung kali dianjurkan. Kami juga melihat festival ini sebagai usaha untuk memupuk ekopelancongan berasaskan komuniti melalui aktiviti seperti bot trip bagi pemerhatian burung dan menikmati landskap indah bakau pesisir,” katanya.
Sesi antarabangsa bertajuk “Teluk Air Tawar – Kuala Muda Coast: A Critical Migratory Shorebird Site in the EAAF” telah disampaikan oleh Encik David Li, Pengerusi Shorebird Working Group bagi East Asian-Australasian Flyway Partnership (EAAFP).

Acara utama festival, “Shorebird Photo Race”, mencabar setiap pasukan yang terdiri daripada tiga orang untuk merakam sebanyak mungkin spesies burung pantai dalam tempoh 24 jam, bermula jam 9.00 pagi pada 29 November hingga 9.00 pagi pada 30 November. Sebanyak lapan kumpulan telah menyertai pertandingan ini dengan bot rasmi menelusuri laluan dari Sungai Lahar Endin ke Pasir Gebu.

Pertandingan fotografi berasaskan komuniti, “Sungai Tembus Photo Contest: People and Nature of Sungai Tembus” menonjolkan hubungan unik antara penduduk dan alam sekitar di sekitar kampung. Pertandingan ini disertai oleh 20 peserta dan berlangsung dari jam 10.00 pagi pada 29 November hingga 10.00 pagi pada 30 November.
Canon Photography Workshop dianjurkan oleh Canon pada hari pertama festival dengan menawarkan peserta pengalaman langsung mengendalikan kamera dan lensa profesional. Sesi ini turut menambah pengalaman festival dengan memberi peluang peserta mencuba peralatan profesional secara percuma dengan hanya menyediakan beberapa dokumen rasmi sebagai jaminan.
Pada hari kedua, 18 pelajar sekolah menengah telah menyertai modul alam sekitar “Ecologist Junior”, mendalami dunia bakau dan kepentingan memulihara burung pantai serta habitat mereka. Para pelajar mengambil bahagian dalam sesi perkongsian bersama Dr Munira, aktiviti “Bakau Diorama” serta melengkapkan kuiz dan aktiviti susun suai gambar untuk mengukuhkan kefahaman konsep ekologi.
Forum festival bertajuk “Teluk Air Tawar–Kuala Muda: Permata Baharu Eko-Pelancongan Berasaskan Komuniti” menampilkan Dr. Aini Hasanah Abdul Mutalib sebagai moderator, Saiful Azhar Abu Bakar mewakili NEST, Ali Hamzah Md Sod, Ketua Unit Nelayan dan Rosini Hashim, Pemandu Pelancong Alam Semulajadi pengkhususan Lembah Bujang. Forum ini memberi tumpuan kepada cabaran pemuliharaan serta peluang masa depan bagi garis pantai Teluk Air Tawar–Kuala Muda.
Menurut salah seorang peserta iaitu Abdul Afiq Abdul Rahman dari Rawang, Selangor berkata, “Apa yang menjadikan festival ini unik ialah penglibatan aktif komuniti Unit Nelayan Sungai Tembus. Mereka bukan sekadar tuan rumah, tetapi rakan kolaboratif yang memastikan aktiviti pemerhatian burung, perjalanan bot dan program masyarakat dapat dijalankan dengan lancar. Kerjasama ini menunjukkan bahawa pemuliharaan hanya dapat dicapai apabila komuniti turut menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya.”


Para pengunjung festival turut berpeluang meneroka reruai oleh SPMP, Canon, NEST, Perhutanan Seberang Perai, PIFWA, Jabatan Perhutanan, Batik Canting Cikgu Hamidah dan Herbalife. Aktiviti walk-in boat ride turut disediakan sebagai pengalaman pemerhatian burung dan penghayatan bakau sepanjang dua hari festival.

Kedua-dua pertandingan “Shorebird Photo Race” dan “Sungai Tembus Photo Contest” berakhir dengan penyertaan yang memberangsangkan. Hadiah disampaikan kepada pelbagai kategori termasuk saguhati, kategori khas komuniti nelayan, gambar terbaik serta tiga pemenang utama setiap pertandingan. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Dr Nur Munira Azman, Saiful Azhar Abu Bakar dan Ali Hamzah Md Sod. Para pemenang menerima wang tunai dan beg cenderahati sebagai penghargaan terhadap kreativiti, kemahiran lapangan dan sumbangan mereka dalam mendokumentasi persekitaran pesisir Sungai Tembus.
Orang awam digalakkan untuk menyertai dan menyokong program, bengkel dan peluang sukarelawan yang akan datang di bawah SPMP dan rakan kolaborasi lain bagi terus terlibat dalam usaha pemuliharaan habitat bakau dan burung pantai. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang www.shorebirds.my.
