oleh :Professor Madya Dr. Mazlini Adnan, Fathur Rohman Niram
Bandar Sri Damansara, 27 November 2025 – Program pameran Mini Karnival anjuran Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Damansara 3 dengan kolaborasi bersama Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) serta bimbingan Professor Madya Dr. Mazlini Adnan telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Damansara 3, melibatkan penyertaan murid sekolah rendah dalam pelbagai aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman.
Rombongan fasilitator PMMU yang terdiri daripada 10 orang mahasiswa, iaitu Faqih, Azhar, Wilson, Eryana, Aina, Hanis, Einas, Fahmi, Muaz dan Haziq bertolak dari UPSI pada jam 7.00 pagi dan tiba di lokasi program pada jam 8.00 pagi. Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh pihak sekolah serta wakil penganjur sebelum murid-murid dibawa meneroka lima stesen aktiviti matematik yang disediakan.


Antara aktiviti utama ialah Operation Rainbow, Math Memory & Tangram Puzzle, Hit ’n Match: Math Edition, Math Fun Station, dan Fishing Math. Setiap aktiviti direka bagi meningkatkan minat dan pemahaman murid terhadap Matematik melalui pendekatan interaktif, permainan, kreativiti serta penglibatan hands-on yang menyeronokkan.
Menurut Faqih sebagai ketua fasilitator, program ini berjaya menarik perhatian dan meningkatkan keyakinan murid dalam mencuba soalan serta cabaran Matematik. Beliau turut menyifatkan pameran ini sebagai pengalaman bermakna yang membantu fasilitator memantapkan kemahiran komunikasi dan penyampaian konsep mengikut tahap murid.


Program yang bertujuan memperkukuh minat terhadap matematik, memupuk kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) serta memberi pendedahan kepada aplikasi Matematik dalam kehidupan seharian ini berakhir pada jam 12.30 tengah hari. Sebelum rombongan UPSI berangkat pulang, pihak sekolah menyampaikan penghargaan kepada para fasilitator sebagai tanda terima kasih atas komitmen dan kerjasama yang diberikan.
PMMU berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkasakan pendidikan Matematik di peringkat sekolah rendah.
