Oleh: Muhammad Amirul Irfan Abdul Ghani dan Dr. Nurul Hila Zainuddin

Tanjong Malim, 15 November 2025 –  Bengkel Kaedah Penyelidikan Pembangunan dan Pendidikan serta Kajian Tinjauan  anjuran Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dilaksanakan dengan jayanya.

Bengkel ini merupakan siri program kedua dari Bengkel Projek Penyelidikan Tahun Akhir Jabatan Matematik yang dilaksanakan di Bilik Seminar Jabatan Matematik, Kampus Sultan Azlan Shah.

Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Penyelaras Projek Penyelidikan Tahun Akhir 1, Jabatan Matematik, Dr. Nurul Hila Zainuddin.

Penerapan kemahiran penyelidikan dari aspek metodologi dan pelaksanaan kajian menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) secara berfokus. 

Penerapan ini dibimbing oleh Pensyarah bidang pendidikan, Dr. Mohd Shahridwan Ramli dan Prof. Madya Dr. Mazlini Adnan dari Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.

Majlis bengkel ini turut dihadiri oleh pensyarah, Dr. Nurul Alhuda Madzlan dan disertai oleh 70 orang pelajar daripada program AT14 (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik dengan Kepujian) dan AT48 (Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan) yang mengikuti kursus Projek Tahun Akhir.

Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar tentang pemilihan reka bentuk dan kaedah penyelidikan yang bersesuaian, di samping memupuk kefahaman terhadap gaya penyelidikan yang berkualiti dan beretika.

Melalui sesi bimbingan dan perkongsian secara interaktif, pelajar berpeluang mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam pembentukan cadangan projek penyelidikan mereka.

“Melalui bengkel yang dijalankan ini diharapkan membantu pelajar untuk memahami dan melaksanakan tugasan FYP dengan cemerlang. Seterusnya pelajar akan mengetahui prosedur penyelidikan yang betul dan profesional dalam penyelidikan,” kata Dr. Nurul Hila.

Kedua-dua penceramah telah berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dalam menerapkan pendekatan penyelidikan yang sesuai dalam bidang matematik dan pendidikan, dengan memberi penekanan kepada penerapan reka bentuk kajian, kaedah pengumpulan data, serta analisis yang relevan dengan objektif penyelidikan pelajar.

Dalam bengkel ini, para peserta diperkenalkan dengan penggunaan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS), di mana perisian statistik ini adalah meluas digunakan dalam analisis data kajian sosial dan pendidikan.

Peserta diberikan tunjuk ajar kepada asas pengendalian SPSS seperti memasukkan data, menetapkan jenis pemboleh ubah, menjalankan analisis deskriptif, serta memilih ujian statistik yang sesuai mengikut reka bentuk kajian.

Pengenalan kepada SPSS ini membantu peserta memahami bagaimana data dapat ditafsir secara sistematik dan tepat, seterusnya meningkatkan kemampuan mereka menghasilkan analisis yang berkualiti dalam projek penyelidikan masing-masing.

Program ini diharap dapat meningkatkan tahap kemahiran penyelidikan peserta, memupuk budaya penyelidikan berasaskan bukti, serta membangunkan keupayaan peserta untuk melaksanakan projek ilmiah yang berkualiti tinggi.

Bengkel ini juga berperanan sebagai platform perkongsian ilmu dan jaringan akademik antara pelajar, pensyarah, serta pakar dalam bidang matematik dan pendidikan, sejajar dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan graduan penyelidik yang berdaya saing dan berpengetahuan luas.