Md Amin ketika menyampaikan cenderamata kepada Abdul Rahim pada majlis Syarahan Budiman bertajuk Anekdot Pendidikan Khas Malaysia di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Leaning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSIMd Amin ketika menyampaikan cenderamata kepada Abdul Rahim pada majlis Syarahan Budiman bertajuk Anekdot Pendidikan Khas Malaysia di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Leaning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI

Oleh Bazli Razak

TANJONG MALIM, 9 Disember 2025 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai gedung ilmu pendidikan negara melalui penganjuran Majlis Syarahan Budiman yang menampilkan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli, dengan syarahan bertajuk Anekdot Pendidikan Khas Malaysia.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, syarahan tersebut membawa signifikan besar dalam memahami sejarah pembangunan pendidikan khas negara, selain memberi inspirasi untuk terus memperjuangkan hak pendidikan golongan berkeperluan khas.

Menurut beliau, transformasi pendidikan khususnya dalam bidang pendidikan khas, kini merupakan satu keperluan mendesak bagi memastikan murid berkeperluan khas mampu menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

“Jika suatu ketika dahulu bidang pendidikan khas kurang diberi perhatian, hari ini ia menjadi tumpuan dalam setiap agenda dan dasar negara, merangkumi semua peringkat umur serta tahap pendidikan. Anak-anak istimewa ini harus disantuni dengan penuh ihsan dan komitmen.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan majlis berkenaan di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Leaning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Suasana majlis Syarahan Budiman bertajuk Anekdot Pendidikan Khas Malaysia oleh Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Leaning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI
Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli ketika menyampaikan syarahan bertajuk Anekdot Pendidikan Khas Malaysia di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Leaning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI
Md Amin ketika berucap pada majlis Syarahan Budiman bertajuk Anekdot Pendidikan Khas Malaysia di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Leaning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI

Menurut beliau, Prof. Dr. Abdul Rahim merupakan tokoh sarjana yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan khas, khususnya dalam inovasi pengajaran dan pembelajaran bagi kelompok murid dan pelajar dengan ketidakupayaan pendengaran.

Md Amin turut menyatakan, sumbangan Prof. Dr. Abdul Rahim terserlah melalui pelantikan beliau sebagai pakar rujuk, perunding, penasihat dan profesor pelawat di beberapa universiti dalam dan luar negara, membuktikan impak signifikan beliau kepada komuniti akademik serta masyarakat setempat.

“Kehebatan beliau dalam memartabatkan bahasa isyarat hingga menarik perhatian antarabangsa membuktikan persona seorang ilmuan yang dihormati.” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai kejayaan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bitara UPSI yang menjadi bukti usaha berterusan universiti dalam menyatukan komuniti dan kampus bagi menjamin masa depan lebih inklusif untuk golongan OKU.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Prof. Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim, menyifatkan Prof. Dr. Abdul Rahim sebagai tokoh pendidikan khas yang telah melalui perjalanan akademik dan kerjaya luar biasa sehingga menjadi inspirasi kepada warga UPSI.

“Beliau bangkit daripada seorang anak kampung di Pasir Panjang Ulu, melalui pelbagai fasa pendidikan sehingga mencapai puncak kerjaya sebagai Profesor dan kini Timbalan Naib Canselor. Ini bukan pencapaian biasa, tetapi hasil kegigihan, disiplin dan komitmen tanpa henti terhadap ilmu.

Abdul Talib turut memuji rekod penyelidikan dan penerbitan tokoh tersebut, yang merangkumi lebih 40 artikel jurnal, sembilan buku dan lebih 28 prosiding antarabangsa, selain mengetuai 24 geran penyelidikan utama.

“Karya beliau mengenai bahasa isyarat komunikasi dan model pengajaran bilingual-bicultural menjadi rujukan penting dalam bidang pendidikan khas.

“Sumbangan beliau kepada dasar pendidikan, konsultasi kementerian dan universiti, serta peranan sebagai profesor pelawat di luar negara membuktikan pengaruh akademiknya berada pada tahap global,” katanya.