Oleh Elena Elaine Engelbayan
Sungai Siput, Perak, 4 Disember 2025 – Jalinan Strategi Program Bahasa Etnik antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan SMK Bawong telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada 4 Disember 2025.
Program ini dilaksanakan bertujuan untuk memperkukuh hubungan strategik antara pihak universiti dan sekolah, di samping memperkenalkan dan mempromosikan program bahasa etnik kepada murid-murid di sekolah tersebut.
SMK Bawong merupakan sekolah yang majoritinya murid orang asli dari suku kaum Temiar. Program strategi ini dilihat dapat membantu memperkenalkan UPSI kepada murid-murid suku Temiar sebagai sebuah IPTA yang komprehensif dalam bidang pendidikan.



Rombongan UPSI tiba di SMK Bawong dengan sambutan mesra daripada murid-murid dan pihak pentadbir sekolah.
Program ini dimulakan dengan ucapan daripada Pengarah Program, Launrence Teo Suli diikuti ucapan penasihat persatuan iaitu Dr. Nur Faaizah Md Adam dari Jabatan Bahasa Etnik, Fakulti Bahasa dan Komunikasi yang menerangkan penawaran program di bawah Jabatan Bahasa Etnik merangkumi peringkat diploma, Ijazah Sarjana Muda dan peringkat pascasiswazah.
Beliau menerangkan syarat kemasukan dan prosedur permohonan yang harus diikuti oleh setiap pemohon yang ingin melanjutkan pengajian di Jabatan Bahasa Etnik.
Program ini telah dirasmikan oleh Encik Mohd Fauzi bin Mohd Ramli, Pengetua SMK Bawong sebagai penanda rasmi permulaan aktiviti program.
Pengisian aktiviti program dimulakan dengan sesi perkongsian ilmu Bahasa Semai yang disampaikan oleh Cik Zuraily a/p Uda@Longgok, pensyarah Bahasa Semai.
Dalam perkongsian itu, beliau memperkenalkan Bahasa Semai akademik yang diiktiraf dalam pendidikan kepada murid-murid SMK Bawong dari aspek kepelbagaian dialek Bahasa Semai dan justifikasi Bahasa Semai yang ditawarkan sebagai matapelajaran elektif di sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sebelum mengakhiri sesi perkongsian ilmu Bahasa Semai, beliau mengalu-alukan permohonan dalam kalangan murid-murid SMK Bawong yang boleh bertutur dan fasih berbahasa Semai untuk memohon program Bahasa Etnik dan seterusnya menyambung pengajian di UPSI.



Kemuncak program diserikan dengan Bengkel Interaktif Tarian Etnik Semai yang memberi peluang kepada murid-murid untuk mempelajari dan mendalami seni tari tradisional masyarakat Semai secara langsung.
Suasana ceria memenuhi bengkel tarian ini, di mana peserta didedahkan dengan gerak dan corak tarian tradisonal masyarakat Semai serta menggalakkan interaksi antara murid dan fasilitator.
Program diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada pihak sekolah diikuti dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan tarian terbaik.
Penutupan program diringi dengan sesi bergambar sebagai simbolik jalinan kerjasama antara pihak yang terlibat.
Inisiatif ini berjaya bukan sahaja membina kefahaman mendalam terhadap bahasa dan budaya etnik Semai, tetapi juga mengukuhkan hubungan pendidikan serta kerjasama antara UPSI dan SMK Bawong.
Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang, agar warisan budaya dan juga kepelbagaian bahasa dapat terus dipelihara.
