Oleh : Norzid Firusi Khairul Zahar, Irwan Hamdi Mohamad
TANJUNG MALIM, 9 Disember 2025 – Dalam dunia kerjaya yang semakin mencabar dan global, penguasaan pelbagai bahasa kini menjadi satu kelebihan kompetitif yang ketara. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sentiasa proaktif dalam memperkasakan modal insan, termasuk melalui penganjuran kursus-kursus bahasa ketiga yang ditawarkan kepada kakitangan akademik dan pentadbiran. Usaha ini tidak hanya seiring dengan aspirasi UPSI untuk melahirkan warga kerja yang berdaya saing global, tetapi juga membuka ruang baharu dalam pembangunan kerjaya individu.

Bahasa ketiga merujuk kepada bahasa tambahan selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Antara bahasa yang sering ditawarkan di UPSI termasuk Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Jepun, Bahasa Korea, Bahasa Isyarat dan banyak lagi.
Penguasaan bahasa ketiga membolehkan kakitangan menjalin komunikasi lebih efektif dengan pelajar dan rakan kolaborasi antarabangsa, mengakses sumber ilmiah dalam bahasa asing, meningkatkan keyakinan dalam penggunaan bahasa ketiga serta memperluas potensi kenaikan pangkat melalui nilai tambah kompetensi peribadi.
Unit Latihan (ULAT), Bahagian Sumber Manusia (BSM) dengan kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) dan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) telah merangka program kursus jangka pendek berdasarkan tahap kemahiran peserta. Bermula Januari hingga September 2025, sebanyak sepuluh (10) kursus bahasa ketiga ditawarkan iaitu lima (5) kursus bahasa ketiga (asas) dan lima (5) kursus bahasa ketiga (lanjutan).
Kaedah pelaksanaan merangkumi pengajaran secara bersemuka, modul interaktif yang disediakan telah disesuaikan mengikut peringkat (asas, lanjutan), latihan berbentuk simulasi komunikasi harian dan tugasan berkumpulan dan penilaian kendiri selepas tamat kursus.

Walaupun terdapat kekangan masa dan komitmen kerja harian, sambutan terhadap kursus ini amat memberangsangkan. Oleh itu, Unit Latihan (ULAT), BSM, UPSI komited untuk menawarkan lebih banyak kursus-kursus bahasa ketiga serta meningkatkan kapasiti penawaran.
Penguasaan bahasa ketiga bukan sekadar kemahiran tambahan, tetapi lambang keterbukaan minda dan kesediaan untuk mendepani cabaran global. UPSI percaya bahawa pelaburan dalam penguasaan bahasa asing ini akan terus memberi pulangan besar dalam melahirkan warga kerja yang berpengetahuan, bersedia berubah dan relevan dalam landskap pendidikan tinggi yang dinamik.

“Bahasa asing bukan sekadar komunikasi, tetapi jambatan ke arah kefahaman antarabangsa.”
