Sesi perkongsian Bersama Pendaftar UPSI iaitu Encik Helmi Zaifura bin Abdul RahmanSesi perkongsian Bersama Pendaftar UPSI iaitu Encik Helmi Zaifura bin Abdul Rahman

Oleh: Fazwin Zulkifli

Ipoh, 9 Disember 2025 – Program Transformasi Minda (PTM) 2025 yang dianjurkan oleh Unit Latihan, Bahagian Sumber Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah berlangsung dengan jayanya pada 29 September hingga 3 Oktober di Travelodge Hotel, Ipoh.

Seramai 40 orang peserta terdiri daripada kakitangan akademik, pengurusan dan professional serta pelaksana telah mengikuti program ini selama lima hari.

Program ini bertujuan memperkukuh nilai, etika, kompetensi dan profesionalisme sebagai warga organisasi yang berintegriti dan berdaya saing.

Aktiviti pembentangan yang dibuat oleh peserta PTM
Peserta PTM yang sedang tekun mendengar sesi perkongsian oleh penceramah



Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada tiga segmen utama, iaitu Negara dan Perkhidmatan Awam, Tanggungjawab serta Peranan Pegawai, dan Budaya Kerja Kelas Pertama. Setiap segmen dirangka melalui pelbagai modul merangkumi ceramah integriti, kepimpinan, komunikasi berkesan serta pengurusan diri bagi memperkukuh kefahaman dan kompetensi peserta.

Sesi perkongsian modul yang dikendalikan oleh kakitangan UPSI dan agensi dilantik Kerajaan telah memberi perspektif mengenai cabaran perkhidmatan dan amalan terbaik yang boleh diaplikasikan dalam tugasan harian.

PTM 2025 bukan sahaja memberi pendedahan kepada tugas dan peranan sebagai penjawat awam, malah membantu membina keyakinan serta kesediaan peserta untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih profesional.

Aktiviti pembentukan pasukan, latihan berasaskan pengalaman serta perbincangan berkumpulan memberikan ruang kepada peserta untuk meningkatkan kerjasama, keyakinan diri dan kemahiran penyelesaian masalah secara kolektif.

Sesi perkongsian oleh Tuan Mohammad Rozli bin Yusuf daripada Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Perak
Aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) oleh peserta PTM 2025

PTM 2025 turut berjaya menyemai kefahaman yang lebih mendalam tentang peranan dan tanggungjawab sebagai warga organisasi, di samping membina kesedaran mengenai kepentingan integriti dan profesionalisme dalam perkhidmatan.

Maklum balas peserta menunjukkan bahawa program ini mampu meningkatkan motivasi, mengembangkan potensi diri dan memperkukuh jati diri sebagai penjawat awam yang beramanah.

Secara keseluruhannya, PTM 2025 memberikan landasan kukuh kepada peserta untuk menjadi warga kerja yang lebih berdaya saing, berdisiplin dan berorientasikan prestasi. Ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan mutu perkhidmatan serta menyumbang kepada kecemerlangan organisasi pada masa hadapan.