oleh: Mohd Hazreen Shah Hassan dan Alizah Lambri

Program Pemindahan Ilmu “Sajak Menyapa Jiwa; Suara, Makna dan Identiti Zaman” oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris yang telah dijalankan sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2025 bermula dari  23 hingga 25 Oktober 2025 telah berjaya menghidupkan kembali denyut seni dan identiti nusa melalui penglibatan aktif pelajar sekolah, pelajar antarabangsa dan orang awam yang hadir ke Dataran Maritim Lumut.

Program anjuran UPSI ini telah menggabungkan sesi pengenalan sajak, bengkel penulisan, sumbang saran karya dan deklamasi secara kreatif melalui pendekatan pemindahan ilmu daripada pensyarah kepada Graduate Interns (GI), fasilitator dan akhirnya kepada komuniti. Suasana interaktif ini telah membuka ruang pembelajaran yang segar, santai dan inklusif bagi semua lapisan peserta.

Momen paling bermakna ialah kehadiran Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Binti Hassan, yang telah menyuntik inspirasi mendalam melalui perkongsian pengalaman, pandangan dan apresiasi beliau terhadap fungsi sajak sebagai suara nurani dan cerminan masyarakat. Kehadiran beliau telah melonjakkan nilai intelektual dan artistik program, selain memberi penghormatan besar kepada dunia persuratan tanah air.

Penyertaan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, orang awam serta pelajar luar negara telah menyerlahkan keupayaan sastera Melayu merentas sempadan budaya. Interaksi mereka dalam bengkel telah memperlihatkan bahawa sajak mampu difahami dan dihayati sebagai medium penyatuan emosi dan pemikiran, walaupun berbeza latar bahasa dan negara.

Program ini telah meningkatkan keyakinan diri peserta untuk berkarya, mengasah kreativiti dan menyuarakan pandangan melalui bentuk puisi moden. Dalam masa yang sama, penganjuran di PULARA telah merancakkan aktiviti komuniti setempat serta mengukuhkan jaringan antara UPSI, penggiat seni dan masyarakat.

Secara keseluruhannya, “Sajak Menyapa Jiwa” telah membuktikan bahawa apabila ilmu dipindahkan dengan pendekatan yang berjiwa dan bersifat merakyat, sastera mampu kembali menjadi nadi budaya serta identiti bangsa. Kejayaan ini sekali lagi mengukuhkan peranan UPSI sebagai peneraju dalam memartabatkan seni, bahasa dan warisan persuratan Melayu.