Oleh: Aidil Syawal Aziz
Tanjung Bidara, 8 Disember 2025 – Lajnah Integrasi dan Perhubungan Awam (LIPA), Persatuan Bahasa Arab (PBA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama bersama Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari mengadakan Bengkel Tazkiyatul Arabiyyah (BETA) yang bertujuan untuk memperkasa penguasaan asas kemahiran bertutur dan menulis pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari dalam bahasa Arab.
BETA telah melibatkan pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari dari tingkatan satu sehingga tingkatan empat iaitu seramai 130 orang secara keseluruhan.
Bengkel Tazkiyatul Arabiyyah (BETA) berlangsung selama 2 hari bermula pada hari Khamis, 4 Disember 2025 dan 5 Disember 2025, hari Jumaat di Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
BETA melibatkan seramai 14 orang fasilitator dari Persatuan Bahasa Arab dan seorang pensyarah pengiring di bawah Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) iaitu Dr. Elsayed Makki Elbishr Ali Hassan.
Perjalanan ke Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari mengambil masa kira-kira 4 jam dari Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI dengan menaiki bas.



Ketibaan para fasilitator telah disambut oleh Ustaz Zainal Daynial Zainal Abidin selaku Penyelaras Bengkel Tazkiyatul Arabiyyah di perkarangan Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari kira-kira jam 11.30 pagi.
Pengisian BETA dimulakan dengan sesi Ice Breaking pada jam 2.00 petang sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) Kemahiran Bertutur dalam bahasa Arab di dalam kelas. Sesi PdP kemahiran bertutur memfokuskan kepada pengenalan kosa kata baharu bagi lokasi dan alatan di sekolah.
Kemudian, pengisian BETA disusuli dengan sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK), dimana pelajar mengaplikasi pengetahuan kosa kata baharu yang dipelajari menerusi aktiviti melukis poster dan aktiviti pembentangan poster kepada ahli kumpulan pelajar dan fasilitator.
Tambahan pula, terdapat aktiviti Spelling Bee versi bahasa Arab hasil daripada pengenalan kosa kata baharu dalam bahasa Arab.
Aktiviti-aktiviti ini dilihat telah merangsang kemahiran bertutur pelajar dalam bahasa Arab menerusi pengucapan asas berdialog dan penggunaan kosa kata baharu dalam ucapan pelajar.


Selain itu, pengisian BETA diteruskan dengan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) kemahiran menulis yang dijalankan pada waktu malam bermula jam 9.00 malam.
Sesi kemahiran menulis pula menekankan pembinaan ayat dalam bahasa Arab dengan menggunakan format dan gaya bahasa Arab yang tepat.
Penggunaan konsep ‘sekolah’ masih dikekalkan sebagai tema pengajaran dan pembelajaran bagi sesi kemahiran menulis.
Kemudian, sesi kemahiran menulis diteruskan dengan aktiviti pembinaan skrip drama pendek. Hal ini kerana pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari perlu membuat persembahan drama pendek pada hari kedua BETA.
Pelajar membina skrip drama dengan bantuan fasilitator sebagai pemantau. Fasilitator juga menerapkan pembinaan ayat bahasa Arab yang mudah dan ringkas sebagai pengukuhan asas dalam pembinaan ayat bahasa Arab.
Pengaplikasian kosa kata baharu yang dipelajari semasa sesi kemahiran bertutur turut membantu pelajar dalam pembinaan skrip drama pendek. Pelajar-pelajar dilihat sangat bersemangat dan saling bekerjasama antara satu sama lain walaupun berbeza tingkatan dalam kumpulan sepanjang proses pembinaan skrip drama.
Hari kedua BETA dimulakan dengan sesi Qiamulail yang dipimpin oleh fasilitator lalu diteruskan dengan Solat Subuh secara berjemaah oleh wakil pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari.
Sesi pengisian BETA diteruskan dengan sesi persembahan drama pendek yang dijalankan di Auditorium As-Shams pada jam 9.00 pagi hingga 10.30 pagi.
Terdapat enam buah kumpulan pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari yang bakal mempersembahkan drama pendek.
Semua pelajar kelihatan sangat bersemangat dan menunjukkan kesungguhan yang sangat tinggi dalam mempersembahkan drama pendek ini.
Matlamat utama aktiviti ini adalah untuk pelajar mengaplikasi pengetahuan yang diperoleh semasa sesi pengajaran dan pembelajaran kemahiran asas bahasa Arab.
Tambahan pula, aktiviti ini sebagai hiburan akhir sesama pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari dan fasilitator sepanjang program BETA berlangsung.
Secara keseluruhan, aktiviti drama pendek menjadi titik permulaan pelajar untuk mengaplikasikan pertuturan bahasa Arab dalam kehidupan seharian.
Pengisian BETA diakhiri dengan majlis penutupan yang dilaksanakan di Auditorium As-Shams sekitar jam 11.00 pagi sejurus persembahan drama pendek pelajar tamat.
Majlis penutupan dikelolakan oleh barisan fasilitator UPSI dan telah dihadiri oleh barisan pentadbir sekolah, tenaga pengajar serta pelajar-pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari.
Majlis penutupan Bengkel Tazkiyatul Arabiyyah (BETA) telah dirasmikan oleh Pengetua Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari, Tn Hj Ammin Datuk Hj Azmi.


“Bengkel Tazkiyatul Arabiyyah (BETA) adalah program julung kali diadakan di Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari dan diharap program sebegini boleh diadakan lagi pada masa akan datang kerana kesannya yang positif kepada para pelajar”, ujar beliau.
Majlis penutupan BETA dilengkapi dengan sesi penyerahan sijil penghargaan kepada pihak Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari dan juga Pengarah Program Bengkel Tazkiyatul Arabiyyah (BETA), Syahierah Azimah Sharuddin.
Sesi fotografi bersama pihak Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari turut dijalankan sebagai kenangan.
Kesimpulannya, Bengkel Tazkiyatul Arabiyyah (BETA) sebagai satu usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam memperkasa Pendidikan bahasa Arab khususnya bagi pelajar-pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari.
Program BETA bukan sahaja memberi manfaat kepada para pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari, malah memberi pengalaman berharga buat fasilitator yang terlibat sepanjang mengendalikan program di sekolah.
Diharap segala ilmu dan pengalaman baharu yang diperoleh sepanjang Bengkel Tazkiyatul Arabiyyah (BETA) dapat memberi manfaat kepada semua pihak dan menyumbang kepada peningkatan minat pelajar dalam bidang Pendidikan bahasa Arab.
