oleh Arissa Hasya Auni
Tanjung Malim, 10 Disember 2025 – Pejabat Karang Mengarang (PKM) menganjurkan Rabu@Qalbu Portfolio Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (TNC P&I) bersempena Hari Terbuka PKM 2025/2026 pada hari ini bertempat di Kedai Buku UPSI.
Menurut Penyelaras Program Hari Terbuka PKM yang juga Timbalan Pendaftar Kanan, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain, Rabu@Qalbu Portfolio TNC (PI) ini bertujuan mendekatkan staf di bawah portfolio itu dengan Kedai buku UPSI.


Katanya lagi, Rabu@Qalbu Portfolio TNC (PI) ini membuka ruang seluas luasnya staf untuk hadir ke Kedai Buku UPSI kerana selama ini mereka sibuk dengan rutin tugas seharian.
”setiap warga portfolio TNC (PI) hadir dihadiahkan ”goodies” yang mengandungi buku, jurnal dan cenderamata. Dengan kehadiran mereka itu, kita mengharapkan mereka dapat hadir sendiri ke Kedai Buku dan melihat buku yang dijual” kata Ahmad.


Antara staf yang hadir melawat Kedai Buku UPSI dan Program Hari Terbuka PKM termasuklah bekas staf PKM, Ahmad Faizal Abdul Shukor, Pereka di Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Ismail Othman, Pembantu Tadbir (P/O), Bahagian Sumber Manusia dan Hazila Mazna Zaharon Lai, Pembantu Tadbir (P/O), Bahagian Hal Akademik.
Selain program di Kedai Buku, para peserta yang hadir turut memeriahkan khemah utama yang menawarkan Sesi Penasihatan Buku dan Jurnal selain permainan interaktif.


Majlis Penyampaian Hadiah bagi Teka Jumlah Buku dalam Kotak, Teka Harga Buku dan juga Teka Berat Buku turut diadakan di pentas utama. Antara pemenang Teka Jumlah Buku dalam Kotak ialah Che Farihan Che Man, Pembantu Tadbir (P/O), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) yang meneka tepat 77 buah.
Pemenang Teka Berat Buku dimenangi oleh Christina Dilam Anak Tommny dengan meneka 4kg berat buku manakala Ahmad Izzat Shamil pula meneka dengan tepat harga buku dengan harga RM220.00.
Sementara itu, Hari Terbuka PKM diserikan dengan Segmen Kuiz dengan soalan kuiz yang ditanya kepada pengunjung berkaitan dengan PKM, buku dan jurnal. Antara pemenang yang membawa pulang hadiah istimewa termasuklah Malik Sulamin, Penerbit Rancangan, FMSP dan Monica Kong Lee Ping, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan FMSP.


Pengarah PKM, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah berkata, program ini turut dihadiri oleh Pendaftar, Helmi Zaifura Abdu Rahman dan Penasihat Undang-Undang, Salwati Mohd Aris dan mendapat perhatian pengunjung dari Majlis Kesihatan Universiti Awam dan Pejabat Kesihatan Negeri Perak.
”Program Hari Terbuka PKM ini sangat penting untuk PKM memperkukuhkan hubungan bersama semua pihak dalam usaha menjadikan Penerbit UPSI sebagai entiti penerbitan yang terbaik di negara” kata Nordiana ketika ditemu bual di akhir program bersama staf PKM.

