Nilai, 18 Disember 2025 Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) bersama Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai sesi Factory Acceptance Test (FAT) pada 16 hingga 17 Disember 2025 di Nilai, Negeri Sembilan, bersama pihak kontraktor dan perunding projek.

Sesi berkenaan melibatkan pengujian peralatan elektrikal utama, iaitu Switchgear dan Cast Resin Transformer, bagi Projek Wakaf Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-Furqan).

Proses pengujian Switchgear semasa sesi Factory Acceptance Test (FAT)

Pelaksanaan FAT ini bertujuan memeriksa, menguji serta mengesahkan bahawa peralatan yang dibekalkan mematuhi spesifikasi teknikal, piawaian keselamatan dan keperluan kontrak yang telah dipersetujui sebelum dihantar ke tapak projek. Proses tersebut merupakan langkah penting bagi memastikan kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik serta kelancaran operasi bangunan apabila projek siap sepenuhnya kelak.

Proses pengujian Cast Resin Transformer semasa sesi Factory Acceptance Test (FAT)

Kehadiran wakil universiti, perunding dan pembekal sepanjang sesi FAT ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memastikan setiap aspek teknikal Projek Wakaf I-Furqan dilaksanakan secara teliti dan menepati standard kualiti yang ditetapkan. Kerjasama erat semua pihak yang terlibat turut membantu memastikan proses pengujian berjalan dengan lancar dan teratur.

UPSI terus komited memastikan pembangunan Projek Wakaf Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-Furqan) dilaksanakan mengikut perancangan, selaras dengan aspirasi universiti untuk memperkasa pendidikan Tahfiz dan Turath Islami. Melalui sokongan wakaf, projek ini bukan sahaja menyediakan manfaat pendidikan jangka panjang kepada warga universiti, malah memberi impak berterusan kepada masyarakat, sekali gus menjadikan setiap sumbangan wakaf sebagai legasi ilmu dan amal jariah yang berkekalan.