Penyerahan Mock Cek Sumbangan Khairat Kematian
Tanjong Malim, 22 Disember 2025 – Sebagai sebuah universiti yang sentiasa menitikberatkan kebajikan pelajar serta warganya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) menyediakan Skim Khairat Kematian khusus bagi meringankan beban waris kakitangan yang telah kembali ke rahmatullah.
Skim yang diperkenalkan sejak tahun 2015 itu bertujuan membantu dari sudut kewangan di samping memberikan sokongan moral kepada keluarga yang ditinggalkan dalam saat menghadapi kehilangan insan tersayang. Sejak pelaksanaannya, seramai 34 orang waris kakitangan telah menerima manfaat daripada skim berkenaan, termasuk waris Allahyarham Nor Azlan Haji Zainuddin.

Allahyarham yang dilahirkan pada 22 Julai 1974 merupakan Pensyarah Universiti DS11 di Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, UPSI. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Allahyarham telah mencurahkan bakti dengan penuh dedikasi dan komitmen sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 14 Julai 2025.
Bagi menyampaikan sumbangan hasil pungutan kebajikan warga UPSI, Pengarah WEZAS, Prof. Madya Dr. Mohd. Abdul Nasir Abd. Latif, bersama barisan kakitangan WEZAS telah menziarahi kediaman waris Allahyarham serta menyampaikan sumbangan khairat kematian berjumlah RM10,000.00.
Diharapkan sumbangan tersebut dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga Allahyarham, selain menjadi manifestasi keprihatinan dan penghargaan pihak universiti terhadap segala jasa serta bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Seluruh warga UPSI turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta para solihin.
