Oleh: Norimah Rambeli dan Norasibah Abdul Jalil
Gambar: Nurnabila Abdul Rahim dan Izzat Danial Haq Yusri
Gunung Besout, 10 Disember – Program Pemindahan Ilmu (KTP) 2025 anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya dilaksanakan bersama komuniti belia di Balai Raya Gunung Besout 04, Daerah Muallim.
Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. En. Mohd Zaidi Aziz, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak (DUN Slim), dan turut dihadiri oleh Puan Nurul Ain Mohamed Maarof, selaku SDA (W) Felda Besout 04, yang hadir mewakili Pengurus Felda Gunung Besout 04, Encik Hasnan Afendi Abd. Ghani.
Selain itu, Encik Mustafa bin Yusuf, Ketua Peneroka Felda Gunung Besout 04, turut hadir bagi menyantuni program yang dianjurkan. Gimik perasmian menyaksikan penyampaian 10 kotak sumbangan khas kepada golongan asnaf di Felda Gunung Besout 04 yang disampaikan oleh YBrs. En. Mohd Zaidi Aziz.



Seramai kira-kira 50 orang komuniti belia wanita setempat telah menyertai program ini, yang bertujuan memindahkan ilmu serta membina kapasiti belia tempatan.
Pelaksanaan program ini jelas mencerminkan kejayaan kerjasama antara UPSI dan komuniti setempat dalam usaha membangunkan potensi belia secara berterusan dan berimpak.
Penerima geran KTP, Prof. Madya Dr. Norimah Rambeli, selaku Ketua Pelaksana program ini, turut dibantu oleh ahli-ahli perunding yang terdiri daripada wakil Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), iaitu Prof. Madya Dr. Norasibah Abdul Jalil dan Dr. Asmawi Hashim, serta perunding dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), iaitu Dr. Nurulhuda Md. Hassan.
Visi utama program KTP ini adalah untuk mendedahkan golongan belia di daerah Muallim kepada ilmu pengurusan kewangan yang sihat dan mampan.



Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan kepentingan pemilikan perlindungan insurans serta pengetahuan berkaitan penjanaan pendapatan pasif bagi memperkukuh kestabilan ekonomi keluarga.
Seiring dengan isu semasa yang banyak berkait dengan cabaran kekeluargaan dan tekanan kehidupan, para peserta juga diberikan pendedahan kepada teknik pengurusan stres yang praktikal dan bersesuaian dengan kehidupan seharian.
Program KTP ini diselia sepenuhnya oleh pihak RMIC di bawah pengelolaan Prof. Madya Dr. Fatimah Salwa Abd. Hadi, serta merupakan hasil kerjasama strategik antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan FELDA.
Jalinan kerjasama ini, yang dibantu oleh Puan Shahhaiza binti Md. Khir selaku Presiden Pertubuhan Kebajikan Pelbagai Kaum Perak, telah berjaya memperkukuh pelaksanaan program serta memastikan pencapaian objektif KTP secara berkesan dan berimpak tinggi kepada komuniti sasaran.
Program yang bertemakan “Kesedaran Pemilikan Perlindungan Kesihatan dan Pengurusan Stres yang Mampan dalam Kalangan Belia Wanita”, ini bertujuan meningkatkan literasi kewangan dan kesejahteraan mental dalam kalangan komuniti belia wanita di Felda Gunung Besout 4.
Program KTP ini turut dilaksanakan dengan sokongan seorang Pelatih Siswazah, Nurnabila binti Abdul Rahim, yang berperanan aktif dalam pengurusan program serta bertanggungjawab melaksanakan sesi pemindahan ilmu bersama komuniti.
Dalam sesi tersebut, beliau menekankan kepentingan pemilikan perlindungan kesihatan dan pengurusan kewangan yang bijak sebagai elemen utama dalam memperkasakan belia wanita, khususnya dalam mendepani cabaran ekonomi dan kehidupan pada masa hadapan.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa pengetahuan berkaitan kewangan dan insurans berpotensi menjadi nilai tambah dalam menjana pendapatan sampingan serta mengukuhkan ekonomi keluarga.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya menyemai kesedaran dan meningkatkan keazaman para peserta untuk memperbaiki taraf ekonomi serta kesejahteraan mental diri dan keluarga.
Para peserta juga memperoleh pemahaman yang lebih jelas tentang peranan instrumen kewangan seperti insurans dalam menyediakan sekuriti kewangan jangka panjang, di samping kepentingan penjagaan kesihatan mental, khususnya dalam kalangan suri rumah dan belia wanita.



Penganjuran program ini jelas membuktikan komitmen yang tinggi, konsisten dan berterusan daripada barisan kepimpinan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah portfolio Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, selaku Timbalan Naib Canselor UPSI, dalam memperkukuh pembudayaan program bersama masyarakat khususnya di daerah Muallim.
Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan platform pemindahan ilmu yang strategik dan berimpak tinggi kepada komuniti setempat, malah turut berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan kapasiti sosial dan ekonomi masyarakat.
Sehubungan itu, adalah diharapkan agar pelaksanaan program KTP seumpama ini dapat diperluaskan ke kawasan lain di seluruh negeri Perak bagi memastikan golongan belia wanita lebih bersedia, berdaya tahan dan berkeupayaan mengurus kewangan serta keterjaminan kesihatan mental secara holistik dan mampan.
