Tanjong Malim, 11 Januari 2026 – Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah menganjurkan Program Nadwah Bina Insan: “Ilmu Dijunjung, Akhlak Disanjung” di bawah bimbingan Exco Latihan Pembangunan Sahsiah, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid sesi 2025/2026 dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini telah berlangsung di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Penganjuran program kerohanian ini bertujuan memperkukuh pembinaan jati diri, penghayatan nilai akhlak serta keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan sahsiah dalam kalangan mahasiswa, di samping mengimarahkan Masjid Al-Mursyidin sebagai pusat pengisian rohani.

Program yang menampilkan penceramah jemputan terkenal, YBhg. Ustaz Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Ustaz Syamsul Debat, merupakan inisiatif murni Kolej KHAR dengan sokongan Pusat Islam UPSI. Kelancaran pelaksanaan program turut didukung oleh rakan strategik korporat, iaitu Vitacare International Sdn. Bhd. yang menyumbangkan tajaan berjumlah RM5,000 serta Wezas dengan sumbangan sebanyak RM1,000.
Dana tersebut dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya. Selain itu, pameran dan gerai jualan melibatkan produk Vitacare serta Ustaz Syamsul Debat turut diadakan di ruang legar Masjid Al-Mursyidin bagi memeriahkan suasana program.


Program bermula seawal jam 9.00 pagi dengan Majlis Khatam al-Quran yang bertujuan memupuk kecintaan terhadap al-Quran serta menyemai nilai keinsafan dan ketenangan jiwa dalam kalangan peserta. Slot utama program diteruskan dengan Ceramah Perdana bertajuk “Ilmu di Dada, Akhlak di Jiwa: Menjadi Insan, Bukan Sekadar Graduan” yang menekankan kepentingan mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pembentukan akhlak mulia.

Dalam ceramah tersebut, Ustaz Syamsul Debat menjelaskan bahawa tujuan menuntut ilmu bukan sekadar untuk memperoleh segulung ijazah, sebaliknya membentuk jati diri sebagai insan yang beradab, berintegriti dan bertanggungjawab. Graduan yang berjaya ialah mereka yang mampu mengamalkan ilmu dengan penuh hikmah, menjaga tutur kata serta memanfaatkan ilmu demi kebaikan bersama dalam mendepani cabaran dunia moden.


Sebagai penutup, majlis disusuli dengan sesi penyampaian cenderamata dan penghargaan kepada penceramah serta pihak penaja. Program turut melaksanakan agenda kebajikan melalui penyampaian sumbangan kepada pelajar kategori B40 Kolej Harun Aminurrashid. Pada sesi petang, kunjungan kasih bersama penaja utama, Vitacare, ke Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tanjong Malim telah diadakan bagi memupuk keprihatinan sosial dan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat.
Secara keseluruhannya, Program Nadwah Bina Insan: “Ilmu Dijunjung, Akhlak Disanjung” berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan cemerlang serta diharapkan dapat memberi impak positif yang berterusan dalam melahirkan insan berilmu, berakhlak mulia dan berjiwa besar selari dengan aspirasi universiti.
