Oleh : Che Noor Hawa Che Ismail
TANJONG MALIM, 17 Januari 2026 – Pusat Kaunseling, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan “Programme Test Anxiety Series 1: Don’t Let Anxiety Ruins Your Exam Results!” secara dalam talian melalui platform Google Meet dan FB LIVE Pusat Kaunseling, bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Program ini disasarkan kepada semua pelajar Ijazah Sarjana Muda UPSI sebagai satu inisiatif sokongan psikososial bagi membantu pelajar mengurus kebimbangan sebelum dan semasa peperiksaan.
Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap punca dan kesan kebimbangan semasa menghadapi peperiksaan, di samping membekalkan kemahiran pengurusan diri, teknik pembelajaran berkesan serta pengurusan masa yang sistematik.
Program ini menampilkan barisan penceramah berpengalaman iaitu Encik Mohamad Faiz Farhan Abdul Rahman, Pensyarah Pelatih dari Fakulti Sains Matematik UPSI, dan Encik Mohd Shukri Md Aris dari Hospital Rehabilitasi Cheras.
Turut hadir ialah Dr. Pau Kee, Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, dan kakitangan Pusat Kaunseling yang sentiasa komited menyokong kesejahteraan mental pelajar universiti.
Dalam Slot 1, peserta menunjukkan fokus dan penglibatan yang tinggi semasa perkongsian bertajuk Self-management, Study Techniques, and Time Management yang disampaikan oleh Encik Mohamad Faiz Farhan bin Abdul Rahman.
Slot ini memberi penekanan kepada pengurusan diri dan strategi pembelajaran yang praktikal dalam menghadapi tekanan akademik dan bagaimana beliau menguruskan kebimbangan semasa menghadapi peperiksaan berdasarkan pengalaman penceramah sebagai bekas Yang Dipetua Majlis Perwakilan Pelajar UPSI serta pelajar Cemerlang yang menerima Anugerah Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti, Anugerah Kepimpinan Pertubuhan Pentadbiran Dan pengurusan Pendidikan Malaysia (MSEAM) serta Hadiah Buku Fakulti, FSM pada Majlis Anugerah Konvokesyen UPSI ke-23
Manakala Slot 2 yang bertajuk Prevention Anxiety – Sleep Quality, Breathing Technique, Anxiety Adaptation & Positive Thinking oleh Encik Mohd Shukri Md Aris, yang juga Alumni Sarjana Kaunseling Kesihatan Mental (Klinikal) telah menarik perhatian peserta melalui aktiviti latihan pengawalan pernafasan dan Teknik pengurusan kebimbangan dengan berkesan. Para peserta dilihat bersungguh-sungguh mempraktikkan teknik yang dikongsikan sebagai persediaan menghadapi tekanan ringan semasa menghadapi peperiksaan.
Secara keseluruhannya, program ini memberi impak positif dalam membantu peserta mengenal pasti tanda-tanda awal kebimbangan dalam menghadapi peperiksaan serta mempelajari teknik pengurusan emosi yang lebih sihat dan berkesan.
Selaku Pengarah Program, Cik Che Noor Hawa Che Ismail berharap pelaksanaan program ini dapat membantu pelajar UPSI mengawal dan mengurangkan kebimbangan dalam diri sepanjang proses pembelajaran, seterusnya meningkatkan keyakinan diri dan prestasi akademik mereka.
Selain itu, perlaksanaan program ini juga telah memberikan nilai tambah kepada pelajar Praktikum di Pusat Kaunseling dalam memberikan kemahiran pengurusan program dan pengacaraan majlis secara dalam talian.
Penganjuran program ini juga selari dengan aspirasi Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 3: Good Health and Well-Being dan SDG 4: Quality Education, dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari segi mental, emosi dan akademik.
