Barisan peserta program bergambar bersama penceramah jemputan dan kakitangan Pusat Kaunseling UPSIBarisan peserta program bergambar bersama penceramah jemputan dan kakitangan Pusat Kaunseling UPSI

Oleh: Noor Syaibah Shabuddin

TANJONG MALIM, 14 Januari 2026 – Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS UPSI) dan Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) Kolej Aminuddin Baki telah berjaya menganjurkan Program Safe Hangout: Healthy Boundary in Relationship bertempat di Bilik Seminar Aminuddin Baki, Fakulti Pembangunan Manusia, Kampus Sultan Azlan Shah.

Program yang bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 12.30 tengahari ini berjaya mengumpulkan hampir 80 orang peserta terdiri daripada pelajar dan kakitangan UPSI. Program kolaborasi ini bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada mahasiswa berkaitan kepentingan menetapkan batas yang sihat dalam hubungan sosial, persahabatan dan percintaan terutamanya di alam kampus. Perhubungan sihat ini penting demi kesejahteraan mental dan emosi warga universiti selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Ketiga: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan sejagat.

Pendaftaran pelajar dimulakan seawal jam 8.00 pagi oleh urus setia bertugas
Ucapan aluan dan perasmian oleh Dr Pau Kee, Pengarah Pusat Kaunseling UPSI
Sesi ceramah berlangsung dengan penuh semangat dan penuh unsur humor oleh penceramah jemputan, Tuan Norazman bin Amat

Program dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta seawal jam 8.00 pagi sebelum diteruskan dengan ucapan aluan dan perasmian oleh Dr Pau Kee, Pengarah Pusat Kaunseling UPSI. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kemahiran komunikasi dan kefahaman tentang batas diri merupakan elemen penting dalam membentuk hubungan yang sihat serta persekitaran kampus yang sejahtera.

Program ini menampilkan Tuan Norazman bin Amat, Pengarah Bahagian Wakaf dan Mal, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang juga seorang kaunselor berdaftar di Lembaga Kaunselor Malaysia sebagai penceramah jemputan. Sesi ceramah yang disampaikan berlangsung dengan penuh semangat, santai dan diselitkan unsur humor, sekali gus menarik perhatian peserta untuk lebih memahami pengisian yang disampaikan. Sesi ini turut membuka ruang kepada peserta untuk berfikir secara kritis dan reflektif tentang pengalaman serta hubungan yang dilalui.

Antara pelajar yang hadir menimba ilmu dari sesi perkongsian
Antara pelajar yang hadir menimba ilmu dari sesi perkongsian
Sesi penyampaian cenderamata tanda penghargaan kepada penceramah jemputan

Program ini memberi impak positif kepada peserta dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan komunikasi berkesan dan penetapan batas yang sihat dalam sesebuah perhubungan bagi mengelakkan diri daripada hubungan yang toksik, menyesakkan emosi serta terjerumus ke arah gejala sosial yang tidak diingini.

Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan penglibatannya kepada lebih ramai warga universiti, sama ada pelajar mahupun kakitangan, agar budaya hubungan yang selamat, sihat dan saling menyokong dapat dipupuk secara berterusan dalam komuniti kampus UPSI.