Oleh: Nur Farzana Abd Rashid
Tanjong Malim, 9 Februari – Seminar Ulul Albab Global dianjurkan secara fizikal dan hibrid sebagai platform strategik perkongsian ilmu dan pemikiran antara Malaysia dan Indonesia, membabitkan Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Himpunan Mahasiswa Persatuan Islam (HIMA PERSIS).
Penganjuran peringkat antarabangsa itu bertujuan memperkukuh integrasi Quranik, kecemerlangan intelektual dan kepimpinan mahasiswa Islam Nusantara dalam mendepani cabaran global semasa.
Seminar berkenaan menghimpunkan ahli akademik, pimpinan mahasiswa dan pemimpin masyarakat melalui sesi pembentangan, dialog serta perkongsian berfokus, termasuk penyertaan mahasiswa UPSI bersama pimpinan HIMA PERSIS Kabupaten Garut, Indonesia. Pendekatan fizikal dan hibrid membolehkan capaian lebih meluas selain mengukuhkan jaringan kerjasama rentas sempadan.




Program dimulakan dengan ucapan aluan Ketua Umum PP HIMA PERSIS Sidang 2025–2028, Sholahudin Hasan, S.Pd., LC, yang menegaskan seminar itu menjadi medium penyatuan pemikiran Ulul Albab dan pembinaan jaringan intelektual serantau berteraskan nilai Islam serta kepimpinan mahasiswa.
Ucapan ucaptama pertama disampaikan Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr Sakinah Salleh, yang menekankan pembangunan mahasiswa Ulul Albab secara holistik dan berfokus impak melalui tiga elemen utama, iaitu adab, akhlak dan akal.
Beliau berkata, mahasiswa Ulul Albab tidak dibentuk melalui pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya melalui keupayaan berfikir berteraskan nilai, bertindak dengan adab dan memimpin dengan akhlak.
Menurutnya, cabaran utama pembangunan mahasiswa masa kini berpunca daripada krisis pemikiran, krisis identiti dan kekeliruan nilai yang memerlukan intervensi pendidikan berasaskan al-Quran serta pembinaan keinsanan. Katanya, UPSI melalui Model Ulul Albab memberi penekanan kepada peranan pensyarah sebagai murabbi, pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar dan pembangunan mahasiswa multilingual bagi meningkatkan daya saing global.
Ucapan ucaptama kedua disampaikan wakil Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia, M Hoerudin Amin, S.Ag., M.H., yang menegaskan konsep Ulul Albab menuntut keseimbangan antara kefahaman wahyu, kecerdasan intelektual dan tanggungjawab sosial, selain mengangkat peranan mahasiswa sebagai agen perubahan masyarakat.
Sementara itu, Penyelaras 2 PUA, Dr Samsuddin Abd Hamid, menekankan keperluan reka bentuk sistem pendidikan Ulul Albab yang tersusun, bersepadu dan berterusan dengan mengambil iktibar kegemilangan tamadun Andalusia, di mana kekuatan pendidikan terletak pada kesepaduan sistem, bukan pengasingan disiplin ilmu. Beliau turut menjelaskan peranan Kelab Sahabat Ulul Albab sebagai ekosistem sokongan pembangunan mahasiswa serta kepentingan penilaian dan penambahbaikan modul latihan secara berterusan termasuk sokongan pascagraduasi.


Lamlam Pahala, M.Ag., Dosen STAI Siliwangi Garut pula menekankan kepentingan kolaborasi strategik serantau antara institusi Islam di Malaysia, Indonesia dan Singapura, selain menjelaskan konsep Ulul Albab merentas zaman dan konteks dengan menuntut keseimbangan pembangunan intelektual, spiritual serta keadilan sosial.
Pembentangan terakhir oleh Penyelaras 1 PUA, Dr Tajul Rosli Shuib, memberi fokus kepada pembangunan mahasiswa melalui pendekatan berasaskan reka bentuk yang fleksibel tetapi berimpak, di samping menggalakkan penglibatan aktif dalam penyelidikan, penerbitan dan inovasi pendidikan. Antara inisiatif diketengahkan ialah Misi Pencarian Ikon Ulul Albab bagi melahirkan mahasiswa profesional, berintegriti dan berdaya saing.

Secara keseluruhan, seminar itu berfungsi sebagai platform strategik pembangunan pemikiran Ulul Albab melalui integrasi Quranik, kecemerlangan intelektual dan kepimpinan mahasiswa Islam Nusantara. Penganjuran secara fizikal dan hibrid turut memperluas penyertaan serta mengukuhkan kerjasama strategik serantau antara institusi pendidikan tinggi dan organisasi mahasiswa.
Seminar berkenaan selari dengan aspirasi Pusat Ulul Albab UPSI untuk melahirkan graduan seimbang dari aspek adab, akhlak dan akal, berkeupayaan memimpin dengan nilai serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan ummah di peringkat global.
