Paparan slaid utama program Global Frontiers in STEM: Voices of Young InnovatorsPaparan slaid utama program Global Frontiers in STEM: Voices of Young Innovators

Oleh: Khairul Syahrunnizam Sodiwal

Tanjong Malim, 6 Januari 2026 – Program Global Frontiers in STEM: Voices of Young Innovators yang dianjurkan oleh Majlis Tertinggi Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sidang CELESTRA 2025/2026, dengan kerjasama beberapa institusi pendidikan ternama di seluruh dunia, berjaya menarik lebih 1900 peserta dari pelbagai negara dalam sesi maya yang berlangsung di Google Meet dan Facebook Live.

Program ini menampilkan Hebatalla Kamaluddin Nurdin, seorang pelajar Sarjana Sains dalam bidang Biologi Molekul dan Sel dari Universiti Sorbonne, Perancis, yang berkongsi pengalamannya dalam dunia akademik STEM antarabangsa

Lebih 1900 mahasiswa dan mahasiswi dari seluruh dunia, termasuk Georgia Tbilisi, India, Brunei Darussalam, Indonesia, Bangladesh, dan Morocco, serta pelajar dari universiti-universiti terkemuka di Malaysia seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi PETRONAS, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah, mengambil bahagian dalam program ini.

Sesi Fotografi Program
Barisan AJK Pelaksana Program Global Frontiers in STEM: Voices of Young Innovators

Program ini bertujuan untuk membuka peluang kepada pelajar mengenai kerjaya STEM di peringkat global serta cabaran dan peluang dalam ekosistem STEM antarabangsa

Sesi yang bertajuk “Exploring STEM Beyond Borders: Inspiring Global Perspectives” memberi peluang kepada peserta untuk mendalami pengalaman langsung mengenai cabaran dan peluang yang ditawarkan oleh dunia STEM antarabangsa.

Hebatalla, yang kini menuntut di Sorbonne University, Perancis, berkongsi pengalaman tentang bagaimana menyesuaikan diri dalam sistem pendidikan global, serta pentingnya kemahiran dan daya tahan dalam menghadapi cabaran tersebut

Program ini mendapat sokongan padu daripada Institution of Chemical Engineers (IChemE) Universiti Teknologi PETRONAS Student Chapter, MySTEM Ambassador Universiti Sains Malaysia (USM), Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), serta Kelab Sains Kimia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain itu, sokongan kolaborasi turut diterima daripada persatuan dan institusi luar negara, termasuk Himpunan Mahasiswa Teknik Kimia Universitas Pamulang, STEM Innovation Student Organization Universitas Prasetiya Mulya, dan Food Science, Technology and Agriculture Student Chapter Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Setiap kolaborasi ini memberikan peluang untuk perkongsian ilmu serta memperluaskan rangkaian antarabangsa. Kerjasama ini memberi impak besar kepada program ini, menjadikannya platform yang efektif untuk memperkukuhkan hubungan antara universiti-universiti Malaysia dan luar negara dalam bidang STEM.

Program ini turut dihadiri oleh beberapa figura utama, termasuk Dr. Mohd Ikhwan Hadi Yaacob, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Sains dan Matematik sebagai perasmi program, dan ChM. Dr. Siti Nur Akmar Mohd Yazid, Penasihat Persatuan Mahasiswa Sains (PMS), UPSI. Dr. Mohd Ikhwan Hadi menyatakan sokongan beliau terhadap kerjasama antarabangsa dan menegaskan pentingnya program seperti ini dilaksanakan untuk memperluaskan wawasan pelajar serta mempersiapkan mereka untuk menghadapi industri STEM yang semakin berkembang.

Sesi Perkongsian oleh Cik Hebatalla Kamaludin Nurdin
Sesi Soal Jawab

Dalam ucapannya, Khairul Syahrunnizam Sodiwal, Pengarah Program Global Frontiers in STEM: Voices of Young Innovators, menekankan kepentingan pertukaran pengetahuan global dalam mempersiapkan pelajar Malaysia untuk menghadapi cabaran kerjaya dalam bidang STEM di peringkat antarabangsa.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pakar antarabangsa, yang bukan sahaja memberi inspirasi kepada mereka, tetapi juga membantu mereka membina rangkaian yang akan memberi manfaat besar dalam bidang akademik dan kerjaya mereka,” kata Khairul Syahrunnizam.

Program ini berakhir dengan sesi soal jawab yang bertenaga, diikuti dengan ucapan penutupan. Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk menilai kembali pemahaman mereka tentang landskap STEM global dan bagaimana mereka boleh mengaplikasikan wawasan tersebut dalam cita-cita akademik dan kerjaya mereka.

Secara keseluruhannya, Global Frontiers in STEM: Voices of Young Innovators telah membuktikan bahawa program ini sebagai platform yang sangat berharga dalam menghubungkan mahasiswa UPSI dengan perspektif dan peluang dalam bidang STEM di peringkat global. Dengan sokongan berterusan daripada rakan kongsi antarabangsa, program ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada generasi inovator masa depan yang ingin memberi sumbangan kepada komuniti STEM global.