Oleh: Mark Emmanuel dan Norrulkamari Daud

Tanjong Malim, 11 Februari – Program Satu Rentak telah dilaksanakan dengan jayanya di padang Dewan Kuliah Pusat 1, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini dianjurkan oleh Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak Kanak (DPAKK), UPSI melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) dengan penglibatan bersama barisan pensyarah serta pelajar DPAKK.

Penganjuran Program Satu Rentak ini merupakan satu inisiatif untuk membina dan mengeratkan silaturahim antara pensyarah dan pelajar.

Program ini memberi ruang kepada interaksi yang lebih dekat dalam suasana yang santai di luar konteks akademik, sekali gus mewujudkan hubungan yang harmoni dan saling memahami antara warga DPAKK.

Program ini sebenarnya adalah menekankan semangat kesukanan dalam kalangan siswa siswi dalam menyemai hubungan yang baik melalui aktiviti yang menyihatkan badan.

Program ni dimulakan dengan ucapan pengarah program saudari Alia Ayuni. Melalui ucapannya, saudari Alia menekankan bahawa melalui program ini, pelajar dan pensyarah dapat diberi peluang untuk berinteraksi dan menyesuaikan diri antara satu sama lain dalam suasana yang santai.

Selain daripada itu, penglibatan semua dalam aktiviti sukaneka turut dapat menyegarkan minda, mengurangkan tekanan dan menggalakkan gaya hidup aktif.

Seterusnya agenda diteruskan lagi dengan ucapan ketua jabatan PAKK, Dr seah Seok Peh. Dalam ucapan beliau, menekankan program ini amat penting sebagai satu platform untuk mengeratkan hubungan di antara pelajar dan pensyarah dalam suasana yang lebih santai dan harmoni.

Melalui aktiviti dan sukaneka dan interaksi tidak formal yang sebegini, jurang yang terwujud dapat dirapatkan, justeru mewujudkan persekitaran yang lebih mesra terbuka dan berkesan apabila berlaku sesi pembelajaran di dalam kelas.

Seterusnya, program diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA), FPM Prof. Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan.

Beliau percaya bahawa program ini mampu membentuk serta memperkukuhkan kemahiran insaniah para pelajar seperti komunikasi, kerja berpasukan kepimpinan dan semangat perpaduan.

Beliau menekankan bahawa nilai-nilai ini yang akan menyumbang kepada pembentukan graduan yang holistik serta berkualiti.

Di akhir ucapan beliau, beliau berharap bahawa melalui program ini dapat menjadi inspirasi untuk meneruskan gaya hidup yang sihat di samping memperkukuhkan nilai semangat juang dan kesepakatan antara semua pelajar dan pensyarah.

Pengisian utama Program Satu Rentak ini adalah dimulai dengan aktiviti sukaneka yang melibatkan penyertaan pensyarah dan pelajar dalam berkumpulan.

Sebanyak lima aktiviti yang dipertandingkan yang melibatkan penyertaan pelajar bersama pensyarah seperti aktiviti main air, timbang tara, rubber passing dan beberapa lagi aktiviti yang lain. Aktiviti yang dipertandingkan ini telah menceriakan suasana dan berjaya memupuk semangat kerjasama, toleransi serta komunikasi dua hala.

Penglibatan aktif semua pihak jelas menunjukkan komitmen dalam menjayakan program ini secara bersama. Walaupun cuaca yang sangat panas, namun semangat bersaing tetap tinggi dalam kalangan siswa siswi untuk meraih kemenangan dalam setiap aktiviti yang dipertandingkan.

Selain itu, Program Satu Rentak turut menampilkan satu slot perkongsian khas oleh salah seorang pensyarah DPAKK yang baru sahaja pulang belajar dari Edinburgh, Scotland iaitu Encik Hazhari Ismail. Dalam slot ini, beliau banyak berkongsi tentang latar belakang kehidupan beliau dan juga perjalanan belajar sepanjang di Scotland.

Kata-kata nasihat juga diberikan kepada siswa siswi di samping menceritakan pengalaman beliau mencari pendapatan sendiri selain belajar bagi meneruskan kehidupan di negara orang.

Di samping itu, beliau juga menceritakan tentang cabaran sepanjang perjalanan beliau menjadi seorang pendidik dan nilai-nilai penting yang perlu kita terapkan dalam membentuk diri kita sebagai mahasiswa. Cerita ini sangat menginspirasi dan memotivasi para pelajar untuk terus berjuang dalam meraih kejayaan akademik dan dalam kehidupan sehari-hari.

Kehadiran serta penglibatan pensyarah dalam program ini turut memberi impak positif kepada para pelajar. Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah meningkatkan rasa saling menghormati dan semangat kekitaan dalam kalangan warga DPAKK UPSI.

Program berakhir dengan penyampaian hadiah dan cenderahati kepada Encik Hazhari dan juga siswa siswi dalam aktiviti sukaneka yang dilaksanakan. Seterusnya sesi fotografi bersama-sama semua yang hadir.

Secara keseluruhan, Program Satu Rentak berjaya mencapai objektif yang disasarkan dan meninggalkan kesan yang bermakna kepada semua yang terlibat. Program ini membuktikan bahawa hubungan yang baik antara pensyarah dan pelajar memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang seimbang dan kondusif.

Pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh silaturahim serta membina komuniti akademik yang harmoni.