Oleh: Prof Madya Dr Norwaliza Abdul Wahab, Prof Madya Dr Siti Rahaimah Ali. Prof Madya Dr Azizah Zain, Dr Jamilah Mohd Bashir
TANJONG MALIM, 8 Febuari 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuktikan komitmen dalam memperkasakan pendidikan masyarakat Orang Asli melalui pelaksanaan Program Pembangunan Kemahiran Pembelajaran & Pengajaran Orang Asli yang dijalankan di dua Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC), iaitu CLC Tekir dan CLC Sebir. Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara UPSI dengan Yu Cai Foundation dan Yayasan DayaDiri yang menyaksikan penglibatan empat orang pakar dalam bidang pendidikan kanak-kanak dan pedagogi.
Perundingan ini yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Norwaliza Wahab, berpendapat usaha mentransformasi pendidikan Orang Asli perlu bermula dari akar umbi. Murid Orang Asli tidak boleh hanya bergantung kepada sistem sekolah formal semata-mata dalam membantu mereka menguasai kemahiran membaca tetapi CLC juga memainkan peranan penting sebagai jambatan kepada pendidikan formal. Justeru itu, guru-guru di CLC ini perlu diberi latihan yang betul dan berterusan. Program ini turut mendapat bimbingan daripada Prof. Madya Dr. Siti Rahaimah Ali yang berkongsi kepakaran dalam pembangunan modul pembelajaran.
Kepakaran dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak turut disumbangkan oleh Prof. Madya Dr. Azizah Zain dan Dr. Jamilah Mohd Basir yang mereka bentuk pendekatan pembelajaran sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak Orang Asli. Kedua-dua pakar Pendidikan Awal kanak -kanak ini berpendapat penekanan perlu diberikan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di CLC dengan menggunakan pendekatan hands-on dan berasaskan alam sekitar dalam pengajaran literasi awal. Kanak-kanak Orang Asli sangat dekat dengan alam sekitar mereka, penggunaan bahan-bahan semula jadi dalam aktiviti pembelajaran dan meningkatkan kefahaman dan belajar dengan lebih seronok.
Program ini menetapkan tiga objektif utama yang jelas iaitu meningkatkan kemahiran pengajaran guru CLC, mengukuhkan peranan CLC sebagai pusat pembelajaran komuniti, dan membantu pelajar Orang Asli bersedia untuk masuk ke sekolah rendah dan menengah kebangsaan. Ketiga-tiga objektif ini saling berkait rapat dan direka untuk menangani cabaran pendidikan yang dihadapi oleh komuniti Orang Asli, terutamanya di kawasan pedalaman yang masih terhad akses kepada sekolah formal.
Lawatan ke CLC Tekir di Kampung Orang Asli Tekir menyaksikan pelaksanaan modul literasi awal yang sangat menarik. Selama sejam, murid-murid terlibat dalam pelbagai aktiviti kreatif bermula dengan menyanyikan lagu ABC, mengenali huruf melalui gambar, menulis di lembaran kerja, dan yang paling mengujakan ialah membuat kolaj menggunakan daun-daun dan ranting yang mereka kumpul sendiri di kawasan CLC. Mereka juga membentuk huruf menggunakan tanah liat, satu aktiviti yang menggabungkan pembelajaran dengan kemahiran motor halus.
“Saya nampak sendiri mata budak-budak tu bersinar masa buat aktiviti kolaj. Mereka berlari keluar ambil daun, susun atur huruf dengan teliti, dan bantu kawan-kawan. Ini bukan sekadar belajar ABC, tapi mereka belajar cara belajar dengan cara mereka sendiri,” kongsi seorang guru CLC Tekir yang turut hadir dalam sesi tersebut. Pemerhatian menunjukkan hampir semua pelajar dapat mengikuti langkah-langkah dalam modul dengan baik dan menunjukkan penguasaan kemahiran asas yang disasarkan.

Di CLC Sebir pula, satu modul yang lebih maju dilaksanakan dengan fokus kepada pengenalan dan padanan suku kata terbuka. Pelajar-pelajar bermain permainan kad padanan, menggunakan dadu untuk memilih gambar secara rawak, dan yang paling meriah ialah permainan ‘stop-the-bottle’ yang digabungkan dengan tarian sewang. Prof. Madya Dr. Azizah Zain yang turut memantau sesi ini berkata, “Aktiviti dengan menerapkan elemen budaya memberi motivasi kepada murid meningkatkan penglibatan aktif mereka. Mereka rasa pembelajaran itu adalah sebahagian daripada identiti mereka, bukan sesuatu yang asing.”
Dalam permainan tersebut, murid yang terpilih perlu melengkapkan suku kata terbuka berdasarkan kad gambar yang dipilih. Selepas itu, mereka mengukuhkan pembelajaran melalui lembaran kerja individu dan sesi mengeja perkataan yang telah dipelajari. Pendekatan ini memastikan enam suku kata terbuka yang disasarkan dikuasai dengan betul oleh pelajar. Aktiviti berkumpulan juga membuka ruang untuk pelajar berkomunikasi dan bekerjasama antara satu sama lain, sesuatu yang jarang berlaku dalam kaedah pembelajaran tradisional.
Pemerhatian di kedua-dua CLC menunjukkan hasil yang sangat menggalakkan. Murid-murid kelihatan sangat terlibat dan seronok sepanjang sesi pembelajaran. Kebanyakan mereka dapat mengikuti aktiviti dengan lancar walaupun tahap kebolehan membaca mereka berbeza-beza. Yang lebih penting, pelajar-pelajar menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat untuk mencuba sendiri tanpa terlalu bergantung kepada guru.

Selain meningkatkan kemahiran literasi awal, program ini turut memberi impak kepada aspek lain perkembangan pelajar. Kemahiran motor halus mereka bertambah baik melalui aktiviti membentuk huruf dengan tanah liat dan membuat kolaj. Kemahiran kognitif seperti ingatan dan pengecaman visual juga menunjukkan penambahbaikan. Aktiviti berkumpulan pula mengasah kemahiran sosial dan komunikasi mereka. Semua ini adalah kemahiran penting yang akan membantu mereka apabila memasuki sistem persekolahan formal kelak.
Guru-guru CLC yang terlibat juga mendapat manfaat besar daripada program ini. Mereka didedahkan dengan pelbagai kaedah pengajaran baharu yang lebih menarik dan berkesan. “Sebelum ni kami ajar cara-cara lama je, suruh budak tulis dan baca buku. Sekarang kami dah tahu macam mana nak buat pembelajaran lebih seronok dan senang budak faham,” luah seorang guru CLC yang mengikuti latihan. Latihan berterusan seperti ini amat diperlukan kerana kebanyakan guru CLC tidak mempunyai latar belakang pendidikan formal dalam pedagogi.
Prof. Madya Dr. Norwaliza Wahab menekankan bahawa sokongan berterusan kepada CLC adalah kunci kejayaan program ini. “Kita tak boleh datang sekali buat program, lepas tu pergi. CLC ni perlukan sokongan jangka panjang dari segi latihan guru, bahan pengajaran, dan juga penglibatan dengan sekolah-sekolah berdekatan,” jelasnya. Inilah sebabnya program ini turut memberi penekanan kepada aktiviti penglibatan dengan sekolah feeder, iaitu sekolah rendah dan menengah kebangsaan yang akan menerima pelajar-pelajar CLC kelak.

Program Pembangunan Kemahiran Pembelajaran & Pengajaran Orang Asli ini menunjukkan bahawa perubahan yang bermakna dalam pendidikan memerlukan komitmen jangka panjang dan kerjasama erat antara pelbagai pihak. UPSI, melalui kepimpinan pakar-pakar seperti Prof. Madya Dr. Norwaliza Wahab, Prof. Madya Dr. Siti Rahaimah Ali, Prof. Madya Dr. Azizah Zain, dan Dr. Jamilah Mohd Basir, bersama-sama rakan strategik dari Yu Cai Foundation dan Yayasan DayaDiri, telah membuka jalan baharu dalam usaha memberi peluang pendidikan berkualiti kepada kanak-kanak Orang Asli.
Buat masa ini, pasukan sedang merancang untuk meluaskan program ini ke lebih banyak CLC di Perak dan negeri-negeri lain. Mereka juga akan terus memantau kemajuan pelajar-pelajar yang terlibat dalam program perintis ini untuk memastikan keberkesanan jangka panjang modul yang telah dibangunkan. Harapannya, model yang telah terbukti berkesan ini dapat dijadikan contoh dan diadaptasi untuk digunakan di CLC-CLC lain di seluruh negara, sekali gus memberi impak yang lebih besar kepada komuniti Orang Asli.
