Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor, Dekan FPE menyerahkan surat pelantikan Profesor Adjung UPSI kepada Puan Saniza SaidProfesor Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor, Dekan FPE menyerahkan surat pelantikan Profesor Adjung UPSI kepada Puan Saniza Said

Oleh: Mohamad Hafiz Rosli, Mohd Faizal Basri, Hazianti Abdul Halim, dan Mohd Asri Mohd Noor

Seberang Jaya, Pulau Pinang – Presiden wanita pertama Malaysian Institute of Accountants (MIA) yang juga merupakan Rakan Kongsi Audit Saniza & Co, Puan Saniza Said, telah dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), UPSI. Surat pelantikan tersebut telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor, Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, kepada Puan Saniza dalam satu kunjungan hormat delegasi FPE UPSI di firma Saniza & Co yang terletak di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 6 Mac 2026.

Pelantikan Puan Saniza sebagai Profesor Adjung mengambil kira kepakaran profesional, kepimpinan di peringkat nasional serta pengalaman industri yang luas. Beliau mempunyai lebih 26 tahun pengalaman dalam bidang audit, percukaian, tadbir urus dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Puan Saniza merupakan Presiden MIA ke-16 serta seorang Akauntan Bertauliah MIA. Beliau juga merupakan ahli Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Persatuan Akauntan Cukai Malaysia (MATA), Association of Malay Chartered Accountant Firms (AMCAF) dan Persatuan Setiausaha Bumiputera Utara (SUTERA). Selain itu, beliau turut diiktiraf sebagai ASEAN CPA (Akauntan Bertauliah ASEAN).

Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor memberikan penerangan berkaitan surat pelantikan Profesor Adjung UPSI kepada Puan Saniza Said
Puan Saniza Said menurunkan tandatangan persetujuan sambil disaksikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor Dekan FPE
Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor turut menyerahkan potret kenangan kepada Puan Saniza Said

Pelantikan Puan Saniza sebagai Profesor Adjung ini berpotensi memperkukuh hubungan strategik antara FPE UPSI dan Saniza & Co, khususnya dalam menyokong aktiviti pengajaran, penyelidikan dan pembangunan akademik. Pengalaman serta pengetahuan praktikal Profesor Adjung juga dapat dimanfaatkan dalam pembangunan kurikulum, perkongsian kepakaran industri serta penyediaan peluang latihan industri kepada pelajar, sekali gus menyumbang kepada usaha melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran kerja.

Dalam kunjungan hormat tersebut, satu sesi perbincangan turut diadakan bagi mengenal pasti potensi kolaborasi strategik yang boleh dijalinkan antara kedua-dua pihak. Pada masa yang sama, ucapan tahniah turut disampaikan oleh Dekan FPE UPSI kepada Puan Saniza atas pelantikan beliau yang dilihat sebagai seorang ikon akauntan wanita yang berjaya dalam profesion perakaunan di Malaysia.

Puan Saniza Said menyerahkan plak Saniza & Co kepada Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor
Delagasi FPE UPSI bergambar tahniah bersama Puan Saniza Said atas pelantikan sebagai Profesor Adjung di FPE UPSI

Turut mengiringi kunjungan hormat tersebut ialah Profesor Madya Dr. Mohd Faizal Basri, Ketua Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Profesor Madya Dr. Hazianti Abdul Halim, serta Dr. Mohamad Hafiz Rosli, yang masing-masing merupakan pensyarah di Jabatan Perakaunan dan Kewangan, FPE, UPSI.