Oleh: Aiman Hariz

TANJONG MALIM, 30 April 2026 – Seramai sembilan kakitangan Pusat Kokurikulum, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menamatkan Kursus Wilderness Austere Advanced First Aider yang berlangsung di Bilik Latihan, Pusat Kokurikulum UPSI. Program selama empat hari bermula pada 27 hingga 30 April ini telah dikendalikan oleh pakar industri dari X3SI Sdn. Bhd. sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkukuh kompetensi kakitangan mendepani situasi kecemasan.

Sepanjang kursus tersebut, para peserta telah didedahkan dengan modul Austere & Emergency Medicine International atau lebih dikenali sebagai AEMED. Modul ini menekankan kepada aspek perubatan kecemasan dalam persekitaran yang serba kekurangan dan mencabar (austere), yang sangat relevan dengan skop tugas kakitangan Pusat Kokurikulum yang sering terlibat dengan aktiviti lapangan. Latihan ini dirangka khusus untuk memastikan setiap kakitangan mempunyai pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam memberikan bantuan awal kepada mangsa di dalam situasi kecemasan. 

Secara keseluruhannya, penganjuran kursus ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kemahiran teknikal para peserta, malah meningkatkan keyakinan diri dalam menguruskan risiko kecederaan di lapangan. Penglibatan kakitangan Pusat Kokurikulum UPSI dalam kursus ini menunjukkan pengurusan keselamatan bagi setiap program yang dianjurkan sentiasa dititikberatkan demi kesejahteraan seluruh warga universiti.