Oleh: Harnani Mat Zin
Tanjong Malim, 17 Disember 2024– Satu pertemuan strategik telah diadakan antara agensi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) bertempat di NCDRC, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini. Lawatan tersebut diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS Malaysia, Zairuddin Mat Zuini, bersama delegasi pegawai kanan agensi tersebut.
Mesyuarat yang berlangsung selama hampir tiga jam itu memfokuskan kepada perbincangan kerjasama antara KEMAS dan NCDRC dalam pelbagai aspek, khususnya berkaitan pemerkasaan sistem National Child Data Centre (NCDC 2.0) bagi memantapkan lagi pemantauan perkembangan kanak-kanak dan pendidikan awal. Perbincangan turut menekankan pentingnya perkongsian kepakaran dalam membentuk strategi yang lebih berkesan bagi meningkatkan kualiti program pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak di seluruh negara.

NCDC yang diperkenalkan pada tahun 2014, telah menjadi platform penting bagi pengurusan data TASKA di bawah kendalian KEMAS. Dengan lebih 569 TASKA di seluruh negara, NCDC 2.0 terus memainkan peranan utama dalam menyokong pengurusan data yang efisien dan komprehensif.
Zairuddin dalam ucapannya menyatakan, “Lawatan ini merupakan platform penting untuk mengukuhkan hubungan antara KEMAS dan NCDRC. Dengan kerjasama erat ini, kita mampu menyediakan perkhidmatan yang lebih baik untuk kanak-kanak, terutamanya dalam memperkasakan pendidikan awal yang menjadi asas kepada pembangunan modal insan negara. Selain itu, perbincangan pada hari ini adalah satu titik pemula untuk mencapai aspirasi Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-kanak KEMAS, yang menekankan peningkatan kualiti pendidikan melalui teknologi digital.”
Antara agenda utama yang dibincangkan termasuklah menyelaraskan pelaksanaan modul baharu, e-Rancangan Pengajaran Harian (e-RPH), di dalam NCDC 2.0. Modul ini dijangka dapat membantu proses perancangan dan pelaksanaan pengajaran oleh para pendidik TASKA KEMAS menjadi lebih mudah dan efisien.
Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr Mazlina Che Mustafa, turut mengalu-alukan kerjasama ini dan menyatakan keyakinannya bahawa perkongsian antara dua pihak ini dapat menghasilkan impak yang positif. “Gabungan keupayaan penyelidikan NCDRC dan pengalaman operasional KEMAS dapat mencipta sinergi yang luar biasa dalam meningkatkan kesejahteraan serta pendididkan awal kanak-kanak kita,” ujar beliau.

Lawatan ini turut melibatkan sesi lawatan ke fasiliti NCDRC, termasuk kompleks taska dan tadika NCDRC, bagi memberi gambaran lebih dekat mengenai operasi harian pusat tersebut.

Kerjasama ini diharap dapat membuka ruang kepada inisiatif baharu yang lebih inovatif dan inklusif untuk memajukan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia. Kedua-dua pihak bersepakat untuk mengadakan mesyuarat susulan dalam masa terdekat bagi menyelaraskan pelaksanaan program yang telah dirangka.
Dengan usaha ini, diharapkan lebih banyak peluang dapat dicipta untuk meningkatkan mutu pendidikan awal kanak-kanak di negara ini, sejajar dengan aspirasi nasional dalam membentuk generasi masa depan yang cemerlang.
