Oleh: Norhidayah binti Ridwan, Prof. Madya Dr. Syakirah binti Samsudin, Dr. Nur Izwani binti Mohd Shapri

Padang, Indonesia, 28 November 2024- Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), Universitas Negeri Padang telah menganjurkan Biology Expo 2024 : Dua Bangsa Satu Visi – Celebrating Biology Innovation Across Cultures for Community Empowerment dengan kerjasama dengan Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Program ini menampilkan pelbagai inovasi dan pameran yang bertemakan inovasi biologi dan dapat memupuk kerjasama dan pertukaran budaya di antara kedua buah negara.

Expo ini telah menampilkan lebih daripada 50 pameran inovasi dan penyelidikan yang telah dihasilkan oleh pelajar.

Bukan itu sahaja, program ini menjadi platform yang sangat penting bagi pelajar daripada dua negara untuk berkongsi idea, pertukaran pengetahuan dan teknologi dengan mempamerkan inovasi dan penyelidikan dalam bidang biologi.

Gambar sekitar berlangsungnya Biology Expo di Makmal Biologi FMIPA, UNP

Majlis perasmian program ini telah dilaksanakan di Dewan Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA) yang diwakili oleh beberapa pensyarah daripada UNP dan UPSI.

Pelbagai aktiviti lain yang telah dilaksanakan sepanjang program ini berlangsung, antaranya mahasiswa/i UPSI berpeluang untuk mengikuti aktiviti Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) dalam bilik kuliah di FMIPA.

Mahasiswa/i kursus Insan Guru Profesional (KPG3013) telah mengikuti sesi PdP bersama Dr. Muhyiatul Fadilah selaku pensyarah kursus Microteaching dan mahasiswa/i kursus Fisiologi Haiwan (SBF3033) mengikuti sesi PdP bersama Dr. Yusni Atifah S.Si., M.Si selaku pensyarah kursus Animal Developmental Biology.

Mahasiswa/i UPSI merasai pengalaman baharu dengan melihat sendiri sesi kuliah yang dilaksanakan di dalam bilik kuliah FMIPA.

Bukan itu sahaja, Prof. Madya Dr. Syakirah binti Samsudin dan Dr. Nur Izwani binti Mohd Shapri telah memberikan kuliah umum Immersive Learning of Biology Future Educators in the 21st centuries dan bengkel bertajuk Game-based Learning Workshop For Educators di Dewan FMIPA UNP yang dihadiri oleh pensyarah, guru-guru sekitar Padang dan mahasiswa/i dari UNP.

Gambar sekitar kuliah umum dan bengkel bersama Prof. Madya Dr. Syakirah Samsudin dan Dr. Nur Izwani binti Mohd Shapri di Dewan FMIPA, UNP
Gambar sekitar mahasiswa/i UPSI bersama mahasiswa/i UNP berada di ruang kuliah FMIPA dengan Pensyarah daripada UNP
Gambar pemenang Biology Expo daripada UPSI

Tahniah kepada tiga kumpulan daripada UPSI yang telah memenangi acara dalam Biology Expo iaitu tempat pertama dengan nama inovasi iaitu ‘SOLAR ‘SERIOUS’LY PROJECT’ diketuai oleh Muhammad Afiq Akmal Ayzuddin dan ahli kumpulannya iaitu Bony Steven, Nurul Nazihah Mamat, Khairun Nabihah Shahnazri, Nuratirah Mokhtar dan Rozalinda Roland iaitu pelajar daripada kursus Insan Guru Professional (KPG3013).

Tempat kedua juga dimenangi oleh mahasiswa daripada kursus Insan Guru Professional (KPG3013) dengan inovasi yang diberi nama sebagai ‘SMART DUSTBIN’ yang diketuai oleh Rafiqhah Safiah Mohd Shah bersama dengan ahli kumpulannya iaitu Nurhidayah Mahmusa, Nur Syuhada Kula, Nur Iffah Syafiqah Abidin, Norain Farzana Sadzali dan Claudia Yvvae Malison.

Tempat ketiga dimenangi oleh mahasiswa/i daripada kursus Fisiologi Haiwan (SBF3033) dengan nama inovasi iaitu ‘THE PCOS PARADOX’ yang diketuai oleh Farah Aqilah Mohd Khairul Anuar dan ahli kumpulannya iaitu Nur Aliah Maisarah Mohamad, Khalidah Talip, Nurul Ashikin Ramli, Fatih Nurul Aini Amran dan Elly Evana Majais.

Program Biology Expo ini telah memberi impak yang besar terhadap kolaborasi antarabangsa yang dapat membuka peluang bagi penyelidikan inovatif yang dapat dimanfaatkan secara praktikal sekaligus dapat bertukar pandangan demi kesejahteraan komuniti melalui pertukaran budaya yang dilaksanakan melalui acara tersebut di antara kedua-dua negara.