Oleh: Anis Amirah Abdul Latiffe dan Nur Amirah Rohim
Tanjung Malim, 5 Januari 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mencatat kejayaannya dengan Program Bengkel Setiausaha Cemerlang anjuran Kelab Al-Mursyidin, dengan kerjasama Kolej Kediaman Bersepadu, Rakan Siswa Yadim, Persatuan Pendidikan Pusat Islam, Kelab Sahabat Ulul Albab, Persatuan Bahasa Arab, Persatuan Tahfiz Qiraat dan Kelab Harmoni.


Program ini melibatkan penyertaan seramai 30 orang peserta, terdiri daripada wakil setiausaha setiap Gagasan Islam dan Kolej Kediaman Bersepadu di UPSI.
Bengkel ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai tanggungjawab setiausaha dalam menyokong kelancaran operasi organisasi, menyediakan latihan praktikal dalam pengurusan mesyuarat dan acara rasmi serta mendedahkan mereka kepada penggunaan teknologi dan perisian terkini yang menyokong tugas setiausaha khususnya dalam organisasi.
Bengkel ini disampaikan oleh Mantan Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2023/2024, Nini Syuryani Zainudin, yang berkongsi pengalaman dan kepakaran beliau dalam melaksanakan tugas sebagai setiausaha.


Beliau turut memberikan pendedahan mengenai cabaran dan peranan setiausaha dalam memastikan kelancaran operasi organisasi serta teknik pengurusan mesyuarat dan acara rasmi yang efektif.
Slot perkongsian diteruskan dengan sesi praktikal pada jam 10.30 pagi, di mana peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melaksanakan tugas membuat memo.


Setiap kumpulan diberikan situasi tertentu bagi mengaplikasikan tugas setiausaha secara praktikal.
Kejayaan bengkel ini diukur bukan hanya dari kemahiran yang diperoleh, tetapi juga dari motivasi untuk mencapai kecemerlangan sebagai setiausaha.


Program ini menerima maklum balas positif daripada peserta yang mencadangkan agar ia diteruskan untuk memperkasa peranan setiausaha sebagai tulang belakang sesebuah organisasi.
Seperti peribahasa Melayu, ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.’


Diharapkan program ini dapat memberi impak positif kepada perkembangan setiausaha di UPSI serta meningkatkan kompetensi mereka dalam melaksanakan tugas dengan lebih efektif.
