CAMERON HIGHLANDS, 14 FEBRUARI 2025 – Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya melaksanakan Program Jalinan Kasih di Perkampungan Orang Asli Chenan Cherah, Cameron Highland dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB). Program selama dua hari ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran peserta terhadap kehidupan serta cabaran yang dihadapi oleh komuniti Orang Asli, di samping mengukuhkan nilai budaya, adat resam, pendidikan dan kerohanian.
Program yang berlangsung dari 13 hingga 14 Februari 2025 ini melibatkan 10 orang mahasiswa, 2 orang felo UKLK bersama kakitangan PTB. Menurut Pengarah Program, Nor Syazwani Suhaimi, inisiatif ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk memahami cabaran kehidupan Orang Asli Chenan Cherah serta mengukuhkan nilai budaya, pendidikan, dan adat resam mereka. Selain itu, program ini turut memberi penekanan kepada aspek pendidikan berkualiti (SDG 4) melalui sesi perkongsian ilmu dan bimbingan akademik, di samping meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan komuniti (SDG 3) menerusi kempen kesihatan diri. Dengan penglibatan secara langsung bersama masyarakat, mahasiswa dapat memahami jurang sosial dan ekonomi yang dihadapi oleh komuniti ini serta mencari pendekatan berkesan dalam usaha mengurangkan ketidaksamaan (SDG 10). Program bersama PTB ini diharap dapat menjadi pemangkin dalam pembangunan komuniti dari aspek pendidikan, kesihatan, dan ekonomi secara
mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).


Perjalanan ke Kampung Chenan Cherah menjadi cabaran fizikal kerana tiada jalan sempurna, memaksa peserta meredah hutan belukar dan menyeberangi sungai menggunakan kayu balak. Laluan sempit, berbukit, dan berlumpur selama 20 minit ini memberikan pengalaman mencabar, terutama ketika perlu membawa barang keperluan dan bantuan. Keadaan ini bukan sahaja menghadkan jumlah barang yang dibawa tetapi juga memberi gambaran jelas tentang kesukaran yang dihadapi penduduk. Namun, keindahan alam semula jadi seperti air terjun dan kawasan berbukit menjadi ganjaran setelah perjalanan mencabar ini. Pengalaman ini membuka mata peserta terhadap ketabahan komuniti setempat serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam membantu mereka.


Peserta tiba ke lokasi pada jam 12.00 tengahari. Peserta terus memasak untuk makan tengahari dan selepas makan semua peserta dan penduduk berkumpul di balai sewang untuk dipersembahkan dengan tarian sewang. Menurut Cikgu Alang, salah seorang anggota United Nations Development Programme (UNDP), penduduk kampung mempunyai upacara simbolik iaitu tarian sewang, yang dipersembahkan untuk menyambut tetamu, kelahiran, atau majlis-majlis tertentu. “Tarian Sewang bukan sahaja budaya mereka, tetapi salah satu cara untuk menjana pendapatan” jelasnya. Penduduk kampung melalui Majlis daerah Cameron Highland sedang dalam usaha menyediakan kampung ini sebagai tapak eko-pelancongan dengan fasa pertamanya adalah membangunkan inap desa sebagai sumber ekonomi utama. Malim Gunung juga menjadi pekerjaan kepada penduduk, selain bercucuk tanam. Wakil Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus, Mohd Fairuz Mislan dalam ucapannya menekan jalinan hubungan yang erat antara mahasiswa dan masyarakat Orang Asli untuk meningkatkan taraf pendidikan dan sosio ekonomi.
Manakala wakil Pegawai Daerah Cameron Highland, Mohammad Shukri Abdul Aziz pulamenjelaskan program sebegini secara tidak langsung membantu masyarakat kampung untuk meneruskan kelangsungan hidup dan berharap lebih banyak program sebegini dapat dilaksanakan. Dalam majlis ini juga pihak UPSI menyerahkan sedikit buat tangan untuk penduduk kampung. Pelbagai aktiviti interaktif telah dirangka bagi membantu kanak-kanak Orang Asli meningkatkan kemahiran kognitif dan kreativiti mereka. Antara aktiviti utama termasuk kuiz matematik untuk merangsang daya pemikiran, aktiviti bercerita bagi memperkaya imaginasi serta meningkatkan kemahiran bahasa, dan sesi mewarna yang menggalakkan ekspresi diri serta koordinasi motor halus.
Selain itu, pihak UKLK turut mengambil inisiatif dalam aspek kesihatan dengan mengagihkan sabun cuci tangan, ubat gigi, dan berus gigi secara percuma kepada kanak-kanak. Sesi pendidikan kebersihan diri dijalankan, di mana mereka diajar teknik mencuci tangan dengan betul serta kepentingan penjagaan gigi yang baik bagi mencegah masalah kesihatan jangka panjang. Lebih daripada sekadar aktiviti pembelajaran interaksi antara mahasiswa dan kanak-kanak ini turut memupuk nilai kemanusiaan, empati,
serta kesedaran sosial. Ia bukan sahaja membina hubungan yang lebih erat, tetapi juga menggalakkan pemahaman serta penghargaan terhadap budaya masing-masing, suatu elemen penting dalam mewujudkan keharmonian sosial dan sikap saling menghormati dalam masyarakat majmuk.
Program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha jangka panjang dalam membantu komuniti Orang Asli, bukan hanya dari segi pendidikan dan kesihatan tetapi juga pembangunan ekonomi dan kesejahteraan hidup. Pengalaman ini memberikan kesedaran mendalam kepada mahasiswa tentang nilai kemasyarakatan serta cabaran harian yang dilalui masyarakat.
Sebelum pulang ke kampus, beberapa peserta mengambil ruang menziarahi rumah ketua kampung untuk mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih di atas kerjasama yang diterima. Perjalanan pulang sekali lagi menguji ketahanan fizikal peserta, tetapi meninggalkan kenangan manis serta pengalaman berharga yang akan dikenang sepanjang
hayat.
