oleh: Muhammad ‘atikullah Mat Nasir
Tanjong Malim, 26 April 2025 – Kelab Al-Mursyidin Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkasa peranannya sebagai kelab pembangunan rohani apabila menganjurkan Qiamullail Challenge UPSI bersempena Program Masjid Al-Mursyidin Open Day (MOD) 2025.
Program yang berlangsung seawal jam 4.30 pagi itu disertai oleh warga UPSI serta komuniti sekitar dalam suasana penuh khusyuk dan harmoni.
Antara pengisian utama ialah solat sunat Tahajjud, solat sunat Taubat, solat sunat Hajat, solat sunat Witir, doa munajat, dan solat Subuh berjemaah yang membuktikan komitmen peserta terhadap penghayatan nilai keagamaan meskipun di awal pagi hujung minggu.



Menurut wakil jawatankuasa penganjur, penganjuran Qiamullail Challenge ini bertujuan menyemarakkan semangat ibadah dalam kalangan mahasiswa serta membina jati diri yang seimbang dari segi akademik dan spiritual.
“Melalui program seperti ini, kita berharap dapat membentuk persekitaran kampus yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelek, tetapi turut teguh nilai rohaninya,” ujar beliau ketika ditemui selepas program tamat.
Sambutan yang agak kurang memberangsangkan daripada pelajar dan penduduk setempat menjadikan program ini agak suram namun pendekatan mesra komuniti yang dibawa oleh Masjid Al-Mursyidin telah menjadi platform merapatkan ukhuwah antara pelajar dan masyarakat luar, selaras dengan matlamat UPSI sebagai universiti pendidikan yang berpaksikan nilai murni.



Penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan mendapat sambutan yang semakin menggalakkan daripada pelajar dan penduduk setempat kerana program ini dapat membersihkan hati dan membentuk akhlak Muslim sejati.
