Oleh: Nurfadhilinsakina Binti Abdul Latif

Melaka, 17 Mei 2025 – UPSI Global Buddies dengan kerjasama International, Mobility and Advanced Education Centre (IMAC), Universiti Pendidikan Sultan Idris, telah berjaya menganjurkan sebuah program “Buddies’ Journey: Melaka Edition,” sebuah lawatan ilmiah ke negeri Melaka, Bandar Bersejarah.

Lawatan ini disertai oleh lebih 40 orang pelajar antarabangsa UPSI serta 16 orang pelajar pertukaran program mobiliti dari Universiti Alfragranus, Uzbekistan, yang turut sama berkongsi pengalaman istimewa dalam mengenali sejarah dan kebudayaan Malaysia.

Menurut Pengarah Program, Sharmila Asokan, program ini amat bermakna kerana ia membuka peluang kepada kami untuk berkongsi keindahan budaya Malaysia dan warisan sejarah negara yang kaya dan berlapis dengan pelajar antarabangsa.

“Ia merupakan peluang yang berharga untuk membina hubungan baik dan pengetahuan baru menerusi warisan, kisah dan tradisi yang telah membentuk jati diri kita sebagai rakyat Malaysia.”

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada barisan pentadbiran IMAC, terutamanya pengarah, Profesor Dr. Ramlee Ismail yang menekankan kepentingan pendedahan terhadap sejarah dan budaya tempatan kepada pelajar antarabangsa sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran holistik sepanjang pengajian mereka di UPSI.

Lawatan dengan kunjungan ke Dataran Pahlawan. Para peserta kemudiannya dibawa melawat ke beberapa lokasi bersejarah utama seperti Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dan Kota A Famosa.

Lawatan ini seterusnya diteruskan dengan aktiviti santai menyusuri Sungai Melaka melalui pengalaman Melaka Riverside Cruise, di mana peserta berpeluang menikmati panorama warisan bandar bersejarah itu dari perspektif yang unik.

Salah satu detik kemuncak lawatan ialah kunjungan ke Stadthuys dan Jonker Walk, destinasi ikonik yang terkenal dengan pelbagai juadah tempatan dan barangan tradisional.

Para peserta diberikan masa untuk meneroka sendiri kawasan ini, merakam kenangan, mencuba makanan tempatan serta membeli cenderahati sebagai kenangan lawatan mereka ke Melaka.

Perjalanan diakhiri dengan singgahan santai di Pantai Klebang, lokasi popular yang menjadi tumpuan pengunjung dengan keindahan pantainya yang memukau. P

ara peserta kelihatan teruja dan gembira menikmati suasana santai sambil bergambar dan bersantai di tepi pantai sebelum pulang ke Tanjong Malim.

Cik Nur Ain Masitah binti Kusnanto, staf Mobiliti dari IMAC merangkap staf pengiring bagi program ini, turut menzahirkan rasa bangga terhadap kelancaran dan kejayaan penganjuran program tersebut.

“Saya amat berpuas hati dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua pihak sepanjang program berlangsung.

Saya berharap agar penyertaan pelajar antarabangsa dalam lawatan ini dapat membuka ruang untuk mereka mengenali dengan lebih dekat sejarah dan budaya Malaysia, sekali gus memupuk rasa hormat dan keterbukaan terhadap kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini.”

Program lawatan ini bukan sahaja memperkasa pembelajaran yang holistik malah menyumbang secara langsung kepada matlamat UPSI dalam melahirkan pelajar antarabangsa yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut celik akan budaya masyarakat setempat.