Oleh: Dr. Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan
Tanjong Malim, 22 Mei – Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan satu program bermakna bertemakan kesejahteraan emosi melalui pembacaan, menerusi Pameran Biblioterapi dan Ceramah bertajuk “Merawat dengan naratif: aplikasi biblioterapi di institusi pendidikan.”
Ceramah disampaikan oleh Prof Madya Dr. Wan Satirah Wan Mohd Saman dari UiTM.
Acara ini memperkenalkan biblioterapi sebagai pendekatan inovatif untuk menyokong keseimbangan emosi dan kesihatan mental dalam kalangan warga universiti dan masyarakat umum.
Majlis perasmian yang berlangsung pada jam 2.30 petang itu disempurnakan oleh Puan Rafidah Abdul Aziz, Pengarah Perpustakaan Awam Negeri Perak.
Turut hadir ialah Ketua Pustakawan Perpustakaan Tuanku Bainun Noriha Muhammad dan mantan Ketua Pustakawan Rusliza Yaacob.
Majlis juga dihadiri oleh para pensyarah, pelajar, kakitangan perpustakaan serta komuniti sekitar Tanjong Malim, memperlihatkan sokongan padu terhadap usaha memperkasakan peranan perpustakaan dalam mendidik bukan hanya intelek, tetapi juga emosi.
Dalam ucapannya, Ketua Pustakawan menekankan bahawa biblioterapi merupakan satu bentuk intervensi ringan yang melibatkan penggunaan bahan bacaan terpilih untuk membantu individu mengurus tekanan, membina ketahanan dalaman, dan merawat jiwa secara menyeluruh.
Beliau menegaskan bahawa perpustakaan masa kini wajar memainkan peranan sebagai ruang pemulihan emosi, bukan hanya sekadar pusat ilmu.
Pameran ini menampilkan pelbagai bahan bacaan reflektif, cadangan buku yang berkaitan dengan biblioterapi serta sudut santai untuk membaca dan berehat. Ia menyokong pendekatan pendidikan holistik yang menjadi tonggak utama falsafah UPSI.
Dalam ucapan perasmiannya, Puan Rafidah mengiktiraf usaha Perpustakaan Tuanku Bainun dalam menerajui pendekatan baharu yang merangkumi aspek intelektual, emosi dan kemanusiaan. Beliau turut menyarankan supaya faedah biblioterapi diperluas kepada kumpulan sasaran di luar kampus seperti guru, pelajar sekolah, belia dan keluarga.
“Saya percaya pustakawan kini berperanan sebagai fasilitator dalam pengalaman membaca yang menyembuhkan dan memberi inspirasi,” ujarnya.



Pengarah program, Puan Najah Saghirah Haroman, turut menyatakan komitmen pihak perpustakaan untuk meneruskan program seumpama ini secara lebih menyeluruh, termasuk kepada masyarakat luar. Beliau menekankan pentingnya membina jalinan antara akademik dan komuniti dalam usaha memperkukuh kesejahteraan emosi.
Program ini juga mencadangkan kesinambungan melalui bengkel penulisan ekspresif, sesi bacaan reflektif dan kerjasama bersama pakar psikologi serta kaunselor. Inisiatif ini diharapkan dapat menyemarakkan budaya membaca yang tidak hanya mencerdas minda, bahkan juga menyentuh dan menyembuhkan jiwa yang kacau.
