Peserta dan fasilitator tekun menyediakan Pau Rendang Tok dalam sesi demonstrasi sempena Program Pemindahan Ilmu anjuran UPSI bersempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Kedua (PULARA) di Dataran Maritim, Lumut.
Oleh: Dr. Mohd Nazri Abdul Raji
LUMUT, 25 Okt 2025 – Budaya makanan merupakan sebahagian daripada warisan yang mencerminkan identiti dan jati diri masyarakat tempatan. Di Negeri Perak, Rendang Tok menjadi lambang kebanggaan kulinari negeri, terkenal dengan keunikan rasa serta nilai sejarahnya yang dikaitkan dengan zaman pemerintahan tokoh-tokoh adat negeri.
Namun, arus pemodenan dan perubahan gaya hidup menyebabkan hidangan tradisional ini semakin kurang dikenali oleh generasi muda. Proses penyediaannya yang rumit serta memerlukan kemahiran khusus menjadikan semakin sedikit komuniti yang menguasai resipi asal Rendang Tok.




Bagi memastikan kelestarian warisan ini terus terpelihara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui geran Knowledge Transfer Programme (KTP) menganjurkan Program Pemindahan Ilmu Penyediaan Pau Rendang Tok selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober 2025 di Dataran Maritim, Lumut sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) ke-11.
Program ini memperkenalkan Pau Rendang Tok sebagai produk inovatif berasaskan resipi tradisional, menggabungkan elemen makanan moden iaitu pau berinti dengan inti asli Rendang Tok. Inovasi ini bukan sahaja mengekalkan cita rasa warisan, malah menjadikannya lebih mudah diterima oleh semua peringkat umur termasuk pelancong serta berpotensi tinggi untuk dipasarkan secara komersial.
Menariknya, program ini memberi tumpuan kepada golongan belia sebagai kumpulan sasaran utama bagi memperkukuh ekonomi komuniti dan memastikan kesinambungan warisan makanan negeri Perak. Peserta terdiri daripada belia tempatan dan pengunjung yang berpeluang mempelajari serta mencuba sendiri proses penyediaan pau rendang tok, selain menerima kit memasak khas selepas sesi pemindahan ilmu.
Seramai lapan fasilitator yang terdiri daripada tenaga pengajar dan mahasiswa Jabatan Hospitaliti dan Sains Konsumer, Fakulti Teknikal dan Vokasional UPSI terlibat dalam pelaksanaan program ini. Mereka turut menjalankan penyelidikan dan inovasi dalam pembangunan resipi pau rendang tok bersama para penyelidik universiti.



Menurut wakil penganjur, pendedahan seperti ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran insaniah mahasiswa seperti kepimpinan dan empati, malah membuka peluang untuk mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar. Sementara itu, peserta pula memperoleh kemahiran baharu dalam pembuatan pau rendang tok, sekali gus membantu memastikan Rendang Tok kekal relevan dan terus dihargai oleh generasi kini dan akan datang.

