Antara peserta yang menyertai program asas pencegahan lemaAntara peserta yang menyertai program asas pencegahan lema

Oleh: En Yusop Ahmad dan En. Farizul Athir Mohd Ramli

TANJUNG MALIM, 16 Disember 2025 – Isu keselamatan air dan pencegahan lemas dalam kalangan belia terus diberi perhatian apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan berjaya melaksanakan Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Programme, KTP)yang memfokuskan kepada asas pencegahan lemas dan kesedaran keselamatan air.

Program yang berlangsung dalam lima sesi bermula 3 November dan mencapai kemuncaknya pada 12 Disember 2025 ini melibatkan penyertaan belia dari pelbagai Daerah di Negeri Perak terutama Muallim dengan kerjasama strategik Muslim Swimming and Sports Academy.

Diketuai oleh pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI, Yusop Ahmad, program ini bertujuan meningkatkan tahap pengetahuan, kemahiran praktikal serta kesedaran komuniti terhadap risiko aktiviti air, khususnya di kawasan air terbuka seperti sungai dan tasik yang banyak terdapat di negeri Perak.

Antara peserta yang menyertai program asas pencegahan lemas
Teknik mengangkat dan menaikkan mangsa
Teknik menyelamat mangsa lemas menggunakan kayu

Menurut beliau, statistik insiden lemas yang melibatkan golongan belia membuktikan keperluan mendesak untuk program berasaskan pendidikan dan latihan keselamatan air dijalankan secara berstruktur dan berterusan.

“Melalui pendekatan teori dan praktikal, peserta bukan sahaja didedahkan kepada pengetahuan keselamatan air, malah dilatih dengan kemahiran asas pencegahan lemas yang boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.

Sepanjang pelaksanaan program, para peserta mengikuti sesi pembelajaran bersemuka yang merangkumi ceramah, demonstrasi serta latihan amali berkaitan keselamatan air.

Ujian pra dan pasca turut dijalankan bagi menilai keberkesanan pemindahan ilmu yang dilaksanakan oleh pasukan akademik UPSI bersama fasilitator terlatih.

Kemuncak program pada 12 Disember 2025 menyaksikan peningkatan ketara tahap kefahaman dan keyakinan peserta dalam menghadapi situasi kecemasan di air.

Teknik dan asas berenang
Teknik Menyelamatkan mangsa menggunakan tali

Program ini juga berjaya melahirkan fasilitator muda yang berpotensi untuk menjadi agen perubahan dalam menyebarluaskan budaya keselamatan air di komuniti masing-masing.

Selain memberi manfaat langsung kepada belia, program KTP ini turut memperkukuh peranan UPSI sebagai institusi rujukan dalam bidang keselamatan air dan pencegahan lemas.

Ia juga membuka ruang kerjasama jangka panjang antara universiti, agensi kerajaan dan organisasi komuniti dalam usaha membangunkan modal insan serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Pelaksanaan program ini diharap dapat dijadikan model bagi program keselamatan air di peringkat negeri dan nasional, sekali gus menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat serta usaha mengurangkan insiden lemas di Malaysia.