Oleh: Nur Ain Nazirah Zakaria
Tanjong Malim, 24 Disember 2025 – Lajnah Pemantapan Bahasa (LPB), Persatuan Bahasa Arab (PBA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Hari Bahasa Arab Sedunia yang disambut pada 18 Disember setiap tahun bertempat di Dewan Kolej Ungku Omar, UPSI.. Penganjuran program ini bertujuan menyemarakkan kecintaan terhadap bahasa Arab dalam kalangan mahasiswa serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penguasaan bahasa Arab dalam bidang akademik dan konteks global. Hari Bahasa Arab Sedunia terus diraikan sebagai platform penting dalam memartabatkan bahasa Arab sebagai bahasa ilmu, budaya dan peradaban. Bahasa Arab bukan sahaja berperanan sebagai medium komunikasi, malah menjadi wahana pembinaan pemikiran serta penyebaran khazanah intelektual dunia sejak sekian lama.

Program ini dengan jayanya telah dirasmikan oleh Dr. Mohd Amir bin Mohd Zahari selaku Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi (FBK), UPSI. Beliau menekankan bahawa penguasaan bahasa Arab perlu dilihat secara lebih luas dan progresif. Menurut beliau, “bahasa adalah cerminan budaya, dan mencintai bahasa Arab bermakna kita menghargai agama, budaya, dan sejarah kita. Lebih daripada itu, bahasa Arab adalah simbol kekuatan budaya dan intelektual dunia Islam. Ia telah menjadi bahasa yang merakam pelbagai karya ilmiah dalam bidang perubatan, matematik, falsafah, dan sains sejak berkurun lamanya.”
Beliau turut menyeru agar usaha memartabatkan bahasa Arab diteruskan secara konsisten melalui penganjuran program yang bersifat inklusif dan kreatif, selari dengan keperluan generasi muda masa kini.

Program ini turut mendapat kehadiran dan sokongan barisan pensyarah Program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Pendidikan, sekali gus memperkukuh nilai akademik penganjuran serta mencerminkan komitmen berterusan dalam usaha memartabatkan bahasa Arab di peringkat universiti.
Selain itu, program ini bukan sahaja menonjolkan keindahan bahasa Arab, malah memperlihatkan semangat perpaduan antara persatuan dalam FBK apabila penyertaannya turut melibatkan wakil daripada Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU), Persatuan Bahasa Tamil (PBT) , Persatuan Bahasa Cina (PBC), Persatuan Perintis Bahasa Etnik (PERINTIS), Persatuan Persuratan Melayu (PPM) dan juga wakil daripada English Language Society (ELS). Pendekatan ini menjadikan program lebih inklusif serta mencerminkan keharmonian kepelbagaian bahasa dan budaya dalam kalangan mahasiswa.

Pelbagai pengisian berbentuk ilmiah, kebudayaan dan interaktif telah dilaksanakan sepanjang program. Antaranya ialah pertandingan “Arabic War” yang melibatkan pelajar AT49 – ISM Bahasa Arab dengan Pendidikan. Pertandingan ini disertai oleh tiga buah Kumpulan iaitu empat orang wakil bagi setiap kumpulan. yang merupakan gandingan antara pelajar Semester 1, Semester 3 dan Semester 5. Pertandingan ini akan menguji kefasihan berbahasa, kepantasan berfikir serta keupayaan peserta berinteraksi dalam bahasa Arab secara spontan dan kompetitif.

Selain itu, program ini turut menampilkan reruai berbentuk “Gallery Walk” yang disediakan oleh wakil pelajar daripada setiap kohort, yang mempamerkan hasil kreativiti, bahan ilmiah serta informasi berkaitan bahasa Arab. Reruai ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium perkongsian ilmu, malah menjadi platform interaktif yang menggalakkan penglibatan aktif pengunjung melalui pelbagai aktiviti dan permainan yang menarik
Secara keseluruhannya, Program Hari Bahasa Arab Sedunia anjuran Persatuan Bahasa Arab UPSI bukan sekadar sebuah program tahunan, malah menjadi wadah penting dalam usaha memartabatkan bahasa Arab secara menyeluruh dan berdaya saing. Penganjuran yang merangkumi elemen ilmiah, kebudayaan dan interaktif ini telah berjaya menampilkan bahasa Arab sebagai bahasa yang hidup, dinamik dan relevan dengan keperluan generasi muda masa kini.
Penyertaan pelajar daripada pelbagai semester, penglibatan aktif setiap kohort, serta sokongan daripada beberapa persatuan lain jelas mencerminkan semangat keterangkuman dan keharmonian dalam kepelbagaian bahasa. Hal ini membuktikan bahawa usaha memartabatkan bahasa Arab mampu berjalan seiring dengan pengukuhan perpaduan dan apresiasi terhadap kepelbagaian budaya.
Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada penganjuran aktiviti bahasa yang lebih inovatif dan berimpak tinggi pada masa hadapan, sekali gus menyemai minat yang berterusan dalam kalangan mahasiswa untuk menguasai bahasa Arab bukan sahaja sebagai bahasa akademik, tetapi juga sebagai bahasa ilmu, pemikiran dan peradaban sejagat.
