Oleh Adila Munshi
SHAH ALAM, 12 Mac 2026 — Program MySave Food Ramadan 2026 anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya dilaksanakan dengan jayanya dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan sepanjang bulan Ramadan.
Program yang berlangsung dari 23 Februari 2026 hingga 12 Mac 2026 di Seksyen 17, Shah Alam ini bertujuan mengumpul lebihan makanan daripada peniaga bazar Ramadan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Program MySave Food Ramadan 2026 terbukti berjaya mencapai objektifnya dalam mengurangkan pembaziran makanan. Berdasarkan rekod yang dikumpulkan, purata lebihan makanan yang diselamatkan adalah sebanyak 67.86 kilogram, dengan jumlah tertinggi direkodkan pada 3 Mac 2026 iaitu 145.86 kilogram, manakala jumlah terendah dicatatkan pada 26 Februari 2026 sebanyak 34.98 kilogram.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan, malah turut meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga dan pengunjung bazar mengenai kepentingan pengurusan makanan secara berhemah dan lestari.


Selain itu, program ini juga menggalakkan amalan pengurusan lebihan makanan secara bertanggungjawab di samping menyemai nilai kebajikan dalam kalangan mahasiswa melalui aktiviti kesukarelawanan.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 30 mahasiswa UPSI bersama kira-kira 300 orang awam sebagai kumpulan sasaran utama. Melalui pelaksanaan program ini, lebihan makanan yang masih elok telah berjaya diselamatkan dan diagihkan kepada golongan memerlukan, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat. Di samping itu, kerjasama erat antara pihak penganjur dan MBSA serta penglibatan sukarelawan dan komuniti setempat dilihat mampu menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat secara berterusan.
Secara keseluruhannya, Program MySave Food Ramadan 2026 dilihat mencapai objektif yang telah ditetapkan dan berpotensi untuk diteruskan pada masa akan datang sebagai satu inisiatif berimpak tinggi dalam menangani isu pembaziran makanan di Malaysia.

