Oleh: Mia Maisara Kamal Kurshid
TANJONG MALIM, 15 APRIL 2026 – Majlis Penamaan Kohort Awang Sariyan (WANGSA): “Ilmu Dilestarikan, Bahasa Dimartabatkan” telah berjaya dilaksanakan di Dewan Kuliah Pusat 6, Kampus Sultan Azlah Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Majlis ini melibatkan semua mahasiswa yang menuntut kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu (ISMP) Bahasa Melayu dengan Kepujian bagi sesi A251.
Seramai 260 orang pelajar yang telah menyertai majlis ini bersama dengan barisan tetamu jemputan yang telah hadir untuk memeriahkan majlis ini iaitu Prof. Madya Dr. Mazura @ Mastura binti Muhammad merangkap Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (UPSI) dan Dr. Mohd Amir bin Mohd Zahari selaku Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (UPSI).
Para penasihat Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) turut hadir iaitu Dr. Mohd Hazreen Shah bin Hassan dan Dr. Husna Faredza binti Mohamed Redzwan. Akhir sekali, majlis ini turut menjemput barisan Majlis Tertinggi Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) seramai tiga orang.
Majlis ini dimulai dengan ucapan pengarah program iaitu Nurul Asmila untuk menyampaikan beberapa amanat dan sedikit kata-kata motivasi kepada para peserta sebagai Ketua Kohort Awang Sariyan. Dr. Mohd Hazreen Shah bin Hassan iaitu selaku penasihat Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) juga dijemput untuk menyampaikan ucapan beliau yang cukup memberangsangkan.
\Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan perasmi majlis, Prof. Madya Dr. Mazura @ Mastura binti Muhammad merangkap Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (UPSI) yang akan memberi sepatah dua kata dan ucapan yang membina bagi menaikkan lagi semangat ahli-ahli kohort dan sekali gus merasmikan Majlis Penamaan Kohort Awang Sariyan (WANGSA) dengan persembahan gimik yang cukup menarik dan mengujakan para mahasiswa.
Kemudian, tayangan video montaj mengenai pengenalan tokoh Awang Sariyan telah ditayangkan oleh AJK Aktiviti yang bertujuan untuk mendedahkan ilmu pengetahuan yang baharu kepada ahli kohort mengenai sumbangan besar yang telah diberikan oleh tokoh bidang bahasa yang amat terkenal di Malaysia iaitu Awang Sariyan.



Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan menjemput Muhammad Shah Rizal bin Usman yang merupakan Timbalan Ketua Kohort bagi memberik sedikit penerangan tentang logo kohort, pelancaran baju kohort dan laman sesawang kohort.
Melalui pengetahuan dan maklumat-maklumat yang terdapat dalam tayangan video montaj itu, para mahasiswa akan diuji dengan segmen teka-teki yang telah diuruskan oleh AJK Aktiviti dan sedikit cenderahati turut diberikan kepada individu yang mampu menjawab soalan yang diajukan sebagai simbol penghargaan kepada mereka.
Akhir sekali, sebagai santapan halwa dan telinga para audiens, persembahan syair dan sajak mengenai tokoh kohort kami iaitu Awang Sariyan telah dipersembahkan.
Persembahan ini telah dipersembahkan oleh ahli kohort kami sendiri iaitu Nur Ainul Najihah binti Roszaidi dan Nur Natasha Syare binti Mohamed Aseri.
Sebaik sahaja tamatnya persembahan ini, barisan tetamu jemputan mula berarak ke luar dewan. Majlis ini bersurai dan diakhiri dengan sesi pembersihan dewan antara ahli jawatankuasa program secara bersama-sama.
Agenda majlis ini diadakan adalah bertujuan untuk merasmikan nama kohort A251 sebagai Kohort Awang Sariyan. Selain itu, majlis ini juga dapat mengeratkan silaturrahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli kohort.
Akhir sekali, jati diri serta identiti pelajar yang sejajar dengan aspirasi kohort dapat diperkukuhkan. Pada masa yang sama, kami juga berharap agar majlis ini dapat memberi sedikit manfaat kepada para pelajar melalui pemahaman terhadap kepentingan penamaan kohort sebagai identiti rasmi dan simbol jati diri kumpulan.
Para mahasiswa juga dapat menyemai rasa penghargaan terhadap ilmu dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan warisan bangsa.
Akhir kata, hasil yang dicapai daripada pelaksanaan program amat memberangsangkan. Objektif pelaksanaan program ini tercapai dengan jayanya. Secara keseluruhannya, program ini telah berjalan dengan lancar, teratur dan dapat galakan yang memberangsangkan daripada para peserta dan penonton.
Di samping itu, Majlis Penamaan Kohort ini dapat menonjolkan dan memperkembang bakat-bakat mahasiswa UPSI khususnya pelajar kursus AT05 bagi tujuan kecemerlangan ko-akademik pelajar pada masa akan datang.
Program ini juga membuktikan bahawa peserta-peserta menyeimbangkan daya saing mereka dalam bidang akademik dan berkarya dalam bidang kesenian dan kebudayaan. Selain pelajar, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UPSI sendiri menerima manfaat terus hasil pelaksanaan program ini kerana berjaya menambah jumlah tapisan takungan bakat fakulti ini yang berpotensi diketengahkan dalam pertandingan di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa pada masa akan datang.

