Disediakan oleh: Mohd Amiluddin Baharudin
21 April 2026 – Gelombang kepimpinan mahasiswa rentas sempadan terus diperkasa apabila platform dialog antarabangsa “KUO NextGen Leadersphere 3.0: Dialogue Across Border” anjuran Majlis Tertinggi Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sidang 2025/2026 menghimpunkan delegasi Malaysia dan Indonesia dalam satu wacana intelektual yang dinamik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini mempertemukan Kolej Ungku Omar (KUO), Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) dan Universitas Bina Darma (UBD) serta Universitas Batu Raja sebagai medan perkongsian idea, pengalaman serta penanda aras kepimpinan mahasiswa global, di samping memperkukuh jaringan strategik dan memperkenalkan Sidang AURRA 2025/2026 ke peringkat antarabangsa.
Saudara Ali Azizi selaku Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2025/2026 merangkap Pengarah Program telah mengupas evolusi UPSI daripada SITC, MPSI dan IPSI sehingga menjadi universiti pendidikan terkemuka, serta menghuraikan struktur fakulti, program pengajian, kemudahan kolej kediaman dan kekuatan lebih 140 badan persatuan mahasiswa/i.



Perkongsian oleh Ayu Indah, Ketua Umum KORPS Mahasiswa ilmu Komunikasi UBD telah berkongsi tentang struktur organisasi mahasiswa/i berasaskan divisi seperti humas, dokumentasi, medinfo dan kreativiti yang disokong perancangan program kerja yang sistematik. Wakil dari UPI, Nafeeza Princy Fauzi selaku Head of Department dan Sheva Anela Tanu Praditha, mahasiswi elementary school teacher education (PGSD) menerangkan mengenai peranan Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) sebagai penyelaras utama organisasi pelajar yang memperlihatkan pendekatan kepimpinan yang tersusun dan berstruktur. Perkongsian ini turut memberi gambaran jelas tentang kecekapan pengurusan organisasi dalam kalangan himpunan mahasiswa/i di Indonesia.
Program ini turut menjadi ruang pertukaran idea yang memperlihatkan kepelbagaian sistem dan pendekatan pengurusan organisasi mahasiswa antara Malaysia dan Indonesia, termasuk aspek tadbir urus, perancangan program, pengurusan sumber serta hubungan strategik antara mahasiswa dan pentadbiran. Pertukaran idea yang berlangsung secara aktif telah membuka ruang pemahaman baharu terhadap model kepimpinan yang lebih inklusif, profesional dan berimpak tinggi dalam membentuk generasi pemimpin masa hadapan.


Selain itu, program ini turut menyentuh aspek pengurusan dan kesejahteraan mahasiswa melalui perkongsian isu semasa seperti cabaran pengurusan organisasi, keseimbangan akademik dan sahsiah serta kepentingan sistem sokongan institusi. Perbincangan dua hala yang berlangsung telah mengukuhkan kefahaman bersama bahawa kepimpinan mahasiswa bukan sahaja bersifat pentadbiran, tetapi juga merangkumi nilai keprihatinan, tanggungjawab sosial dan keupayaan menyelesaikan isu secara kolektif.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan antarabangsa serta memperkasa pertukaran ilmu dan amalan terbaik antara institusi. Program ini bukan sahaja membuka ruang kolaborasi masa hadapan, malah membuktikan bahawa kepimpinan mahasiswa mampu berkembang melangkaui sempadan melalui pendekatan yang progresif, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

