Oleh: Nurul Fazirah Abdullah
SUNGAI SIPUT, PERAK – Program Skuad Intervensi Literasi Bahasa Melayu (SKIL-BM) 2026: Menoktahkan Jurang Pendidikan, Melakar Masa Hadapan di bawah inisiatif Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) telah berlangsung dengan jayanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, Sungai Siput, Perak dalam suasana penuh iltizam, semangat dan nilai kebersamaan yang tinggi.
Program ini menghimpunkan mahasiswa/i Persatuan Bahasa Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai fasilitator lapangan yang tampil sebagai agen perubahan pendidikan, menyantuni murid luar bandar melalui pendekatan literasi yang lebih segar, dekat dan berimpak tinggi. Sinergi antara pelajar, fasilitator dan pihak sekolah telah membentuk ekosistem pembelajaran yang hidup, kondusif serta sarat dengan interaksi bermakna.
Program ini dimulakan dengan ucapan pengarah program yang menzahirkan harapan agar SKIL-BM 2026 dapat membantu meningkatkan penguasaan literasi murid dengan lebih berfokus.
Majlis ini turut disempurnakan oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah sebagai tanda sokongan pihak sekolah terhadap pelaksanaan program ini.
Program ini diteruskan dengan aktiviti suai kenal dan pembentukan kumpulan kecil bagi mengurangkan jurang formaliti antara fasilitator dan murid.
Suasana yang lebih santai ini telah mewujudkan interaksi dua hala yang lebih aktif, sekali gus meningkatkan keyakinan murid untuk berkomunikasi tanpa rasa takut atau tertekan.
Menerusi program ini, murid yang sebelum ini pasif mula menunjukkan keterlibatan yang lebih baik, berani bertanya, dan lebih terbuka dalam proses pembelajaran.
Hal ini secara tidak langsung dapat membantu dalam menangani isu asas literasi yang sering dikaitkan dengan kurang keyakinan diri dan pengalaman pembelajaran yang kurang menyeronokkan.
Seterusnya, program diteruskan dengan dua slot utama iaitu pemerkasaan kemahiran membaca dan penulisan bahasa Melayu.
Kedua-dua slot ini dilaksanakan secara berfasa, sistematik dan berstruktur bagi mengenal pasti tahap penguasaan murid dengan lebih tepat serta memberi intervensi yang bersasar mengikut keperluan mereka.
Program ini menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila murid menunjukkan peningkatan dalam memahami sesuatu teks dan menjadi lebih lancar dalam membaca serta lebih berkeyakinan dalam menstrukturkan idea untuk penulisan.
Bukan itu sahaja, program ini juga berjaya mewujudkan perubahan dari segi sikap terhadap pembelajaran bahasa Melayu. Program ini berupaya mengubah persepsi murid daripada rasa takut dan terpaksa kepada sikap lebih terbuka, yakin dan sentiasa bersedia untuk mencuba perkara baharu.
Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja merapatkan jurang literasi, tetapi turut membina semula keyakinan diri murid sebagai pelajar yang mampu berkembang.
Mahasiswa yang hadir tidak hanya terlibat sebagai fasilitator lapangan, malah turut berperanan sebagai pembimbing yang membantu murid untuk meningkatkan keyakinan dalam diri mereka.



Pengalaman ini membuka ruang kepada pengukuhan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pedagogi dalam situasi sebenar. Nilai empati, kesabaran dan kerjasama bukan sekadar diterapkan, malah benar-benar dizahirkan sepanjang program ini berlangsung.
Program ini berakhir dengan majlis penyampaian hadiah dan sesi fotografi bersama murid-murid SMK Bawong sebagai simbol penghargaan, kenangan dan penutup sebuah perjalanan ilmu yang bermakna.
Secara keseluruhannya, SKIL-BM 2026 menjadi satu usaha intervensi yang bukan sahaja memfokuskan akademik, tetapi turut menyentuh aspek keyakinan, komunikasi dan keterlibatan murid dalam pembelajaran Bahasa Melayu.
Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium berterusan dalam memperkukuh penguasaan bahasa serta merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar, selaras dengan aspirasi pendidikan negara yang inklusif dan progresif.

