Oleh: Dr. Ijlal Mohd binti Diah , Dr. Nurihan binti Nasir, Azhar bin Aliassan dan Nurul Asma binti Zulkifli
Tanjong Malim, 30 Jun 2026 – Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU), Jabatan Matematik dengan kerjasama Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan SMK Trolak telah berjaya menganjurkan bengkel Pemantapan Algebra @ SMK Trolak 3.0 bertempat di Bilik Kuliah dan Bilik Seminar Jabatan Matematik, Blok Dua, Aras Satu, Fakulti Sains dan Matematik.
Bengkel ini melibatkan seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada 40 orang murid Tingkatan Dua dan 40 orang murid Tingkatan Tiga, diiringi oleh empat orang guru dari SMK Trolak. Bengkel ini bertujuan memperkukuh penguasaan konsep asas algebra, meningkatkan minat murid terhadap subjek Matematik dan memberi pendedahan kepada pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif serta menyeronokkan. Selain itu, bengkel ini turut menjadi platform kepada mahasiswa Jabatan Matematik untuk mengaplikasikan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pengendalian program melalui penglibatan sebagai jawatankuasa pelaksana dan fasilitator.
Ketibaan peserta dan sesi pendaftaran
Pada pukul 9.00 pagi, para murid dan guru dari SMK Trolak selamat tiba di UPSI. Kehadiran murid bersama guru pengiring disambut mesra oleh para fasilitator yang turut membantu menguruskan perjalanan peserta ke lokasi bengkel bagi urusan pendaftaran. Suasana ceria dan penuh semangat jelas terpancar apabila para peserta mula berkenalan dengan fasilitator UPSI sebelum bengkel Pemantapan Algebra @ SMK Trolak 3.0 dimulakan.
Sesi Senamrobik dan Ice Breaking mengeratkan hubungan peserta dan fasilitator
Bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih santai dan kondusif, program dimulakan dengan sesi Ice Breaking yang dikendalikan oleh fasilitator mahasiswa Jabatan Matematik. Program diteruskan dengan aktiviti senamrobik yang dikendalikan oleh barisan fasilitator daripada Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU). Aktiviti ini bertujuan menyegarkan minda dan meningkatkan kecergasan fizikal peserta sebelum memulakan slot pembelajaran. Suasana menjadi lebih ceria apabila para murid memberikan kerjasama yang baik dan mengikuti setiap pergerakan dengan penuh bersemangat. Selain mencetuskan suasana yang menyeronokkan, aktiviti ini berjaya meningkatkan fokus, motivasi dan kesediaan peserta untuk mengikuti bengkel Pemantapan Algebra sepanjang hari.


Slot pemantapan algebra mengukuhkan penguasaan konsep asas
Sepanjang bengkel, peserta mengikuti beberapa slot pembelajaran yang disusun mengikut tahap pembelajaran masing-masing. Murid Tingkatan Dua didedahkan kepada konsep asas algebra seperti pemboleh ubah, pemalar, pekali, operasi tambah, tolak dan pendaraban sebutan algebra, manakala murid Tingkatan Tiga diberi penekanan kepada ulang kaji topik Operasi Algebra, Persamaan Linear Dalam Satu Pemboleh Ubah serta pembinaan Persamaan Algebra daripada ayat matematik.
Setiap slot dikendalikan menggunakan pendekatan pembelajaran aktif yang menggabungkan penerangan konsep, perbincangan, latihan dan bimbingan secara berkumpulan bagi memastikan setiap peserta dapat memahami topik yang dipelajari dengan lebih berkesan.
Aktiviti berkumpulan menyemarakkan pembelajaran Matematik
Bengkel turut diserikan dengan pelbagai aktiviti berkumpulan seperti Permainan Kad Algebra bagi murid Tingkatan Dua dan Penyelesaian Masalah Algebra bagi murid Tingkatan Tiga. Aktiviti-aktiviti ini berjaya meningkatkan penglibatan aktif murid dalam pembelajaran di samping menggalakkan mereka berfikir secara kritis, bekerjasama dan mengaplikasikan konsep algebra dalam situasi yang lebih menyeronokkan.
Pendekatan berasaskan aktiviti ini secara tidak langsung meningkatkan motivasi peserta untuk mempelajari matematik dan membina keyakinan dalam menyelesaikan masalah berkaitan algebra.


Latihan pengukuhan dan sesi perbincangan
Pada sebelah petang, peserta menjalani latihan pengukuhan yang disediakan berdasarkan aras penguasaan masing-masing. Fasilitator membantu peserta menyelesaikan soalan algebra melalui sesi perbincangan secara individu dan berkumpulan bagi memastikan setiap konsep asas algebra yang dipelajari benar-benar difahami.
Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk bertanya secara terus kepada fasilitator dan memperbaiki kesilapan dalam penyelesaian soalan algebra, sekali gus meningkatkan kefahaman mereka terhadap topik berkaitan algebra.


Majlis penutup dan penilaian program
Program diakhiri dengan sesi penilaian bagi mendapatkan maklum balas daripada peserta terhadap keberkesanan bengkel yang telah dijalankan. Secara keseluruhannya, para peserta memberikan respon yang amat positif dan menyatakan bahawa pendekatan pembelajaran yang digunakan berjaya meningkatkan kefahaman dan minat mereka terhadap Matematik, khususnya dalam topik berkaitan algebra.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Dr. Mohd Ikhwan Hadi bin Yaacob, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Fakulti Sains dan Matematik (FSM). Dalam ucapan beliau, turut menyatakan bahawa daripada asas algebra maka lahirlah pelbagai idea yang lebih kompleks, termasuk algoritma yang menjadi asas kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI) pada masa kini. Beliau turut menyuarakan harapan agar murid-murid SMK Trolak akan menjadi generasi yang mampu mencipta lebih banyak inovasi pada masa hadapan. Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid sekolah melalui perkongsian ilmu, malah menjadi platform terbaik kepada mahasiswa UPSI untuk mengaplikasikan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kesukarelawanan sebagai bakal pendidik.


Penganjuran bengkel Pemantapan Algebra @ SMK Trolak 3.0 membuktikan komitmen Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti melalui program khidmat masyarakat yang memberi impak kepada pendidikan sekolah. Program ini bukan sahaja membantu meningkatkan penguasaan algebra dalam kalangan murid SMK Trolak, malah turut menyediakan peluang kepada mahasiswa Jabatan Matematik untuk memperkukuh kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pengurusan program sebagai persediaan menjadi bakal pendidik yang kompeten. Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyokong usaha melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dalam bidang matematik khususnya algebra.

