Pattani, Thailand Selatan, 25 Mei 2016 – Bahasa Melayu berpotensi mampu menjangkau peringkat antarabangsa jika 300 daripada 700 juta orang Melayu di Asia Tenggara bertutur bahasa Melayu.
Rektor Universiti Fatani, Thailand, Prof. Madya Dr. Ismail Lutfi Japakiya berkata, sebanyak 129 universiti di dunia menggunakan bahasa Melayu membabitkan 40 negara di dunia dan ia masih perlu diperluaskan.
Malah, katanya, lebih membanggakan apabila bahasa Melayu dituturkan lebih 400 juta orang Melayu seluruh dunia dan kita harus berusaha Melayu dilihat hebat.
“Di Thailand dengan mengambil contoh perkembangan bahasa Melayu di Pattani, kebanyakan kitab yang dipelajari di Pattani dalam bahasa Melayu dan bertulisan jawi,” katanya.
Di Thailand sahaja katanya, lebih 300,000 menggunakan bahasa Melayu dan 14 universiti menawarkan program bahasa Melayu membabitkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda, sarjana serta doktor falsafah.
Seminar Memartabatan Bahasa Melayu /Indonesia ASEAN Ketiga yang berlangsung di Park View Resort, Park View Resort bertujuan membincangkan isu memperkaya dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di peringkat Asia Tenggara.
Seminar kali pertama diadakan pada 2012 mencetuskan penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Thailand manakala kali kedua pada 2014 mendorong kepada 14 universiti di Thailand menawarkan program bahasa Melayu.
“Generasi hari ini di Thailand kurang menggunakan bahasa Melayu dan usaha perlu dilakukan supaya penggunaannya lebih meluas.
Bangsa Melayu perlu berfikir secara energetik supaya tidak mengaku kekalahan identiti kita sendiri dengan memperlihatkan amalan budaya dan agama.
“Bahasa Melayu sebagai bahasa keempat dunia, dan kita perlu berbangga dengan bahasa Melayu, tonjolkan identiti kita sebagai bahasa Nusantara,” katanya di hadapan lebih 200 peserta.
Selain bahasa Melayu, beliau menyarankan agar menguasai bahasa Inggeris, Cina serta bahasa Arab yang perlu difahami sebagai bahasa ibadah seharian umat Islam.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa dalam ucaptama bertajuk “Memperkayakan Kekuatan Jaringan Pendidikan Bahasa Melayu di ASEAN” berkata, “UPSI dan semua institusi pengajian tinggi ASEAN perlu mengukuhkan jaringan antarabangsa dalam memartabatkan bahasa Melayu”.
“Jika bangsa Melayu sendiri tidak mengamalkan penggunaan bahasa Melayu, bahasa lain akan mengambil tempat dan pengalaman masyarakat di Satun, Thailand yang hanya 20 peratus menggunakan bahasa Melayu perlu menjadi ikhtibar,” katanya.
Lebih 50 kertas kerja dibentangkan oleh sarjana dari Malaysia membabitkan UPSI, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sementara dari Thailand wakil dari Universiti Fatoni dan, Prince Songkhla University. Indonesia menyaksikan sarjana dari Universiti Muhammadiyah Surakarta, IKIP Budi Utomo serta Universitas Negeri Semarang.
Sempena seminar turut diadakan forum bertajuk “Hala Tuju Pengajian Bahasa Melayu” membabitkan panel Exco Pendidikan Terengganu, Ghazali Taib; Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Dr. Zulkifli Osman; pensyarah Universitas Muhammadiyah, Indonesia, Prof. Dr. Markhamah; Pengarah Yayasan Kebajikan As Salah, Nongkai, Laos, Ustaz Osman Omar, serta pensyarah Prince Sokhla University, Prof. Madya Dr. Worawit Baru. Forum dikendalikan Pengarah Pusat perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Ali.
Seminar berakhir dengan pembentangan resolusi yang masih di peringkat pemurnian dan hadir sama menyaksikan pembentangan Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Ahmad Burak.
Oleh: Ghazali Din
Artikel ini telah diterbitkan pada 26 Mei 2016.