Oleh : Roshia Anak Sidi

Tanjung Malim, 31 Oktober – Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dengan kerjasama Exco Kesenian dan Kebudayaan, Majlis Mahasiswa Luar Kampus sidang 2021/2022 dengan kerjasama Teknikal Kesenian & Kebudayaan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pusat Kebudayaan menganjurkan Bengkel Asas Tari Zapin siri 1 secara dalam talian.

Penaung Persatuan Wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (PEWARIS), Datin Pazilah Yahya berkata, melalui penganjuran bengkel tersebut, UPSI dapat melahirkan pelajar yang berdaya saing dari segi tanggungjawab dalam persatuan dan daya tahan dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek, sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk menghayati seni tari dalam persembahan mereka.

“Hal ini dapat membentuk individu yang mempunyai emosi seimbang, kreatif dan inovatif dalam setiap gerak tari yang dipelajari,” ucap beliau semasa merasmikan program tersebut menerusi siaran langsung di laman Facebook Rasmi UKLK.

Program yang berlangsung selama dua hari itu mengundang Ketua Teknikal Tari Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Encik Mohd Sani Sakimen untuk berkongsi ilmu mengenai elemen-elemen tarian Zapin Johor. Encik Mohd Sani juga merupakan Jurulatih Daerah Yayasan Warisan Johor, Jurulatih Seni Budaya Negara dan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Kahang , Kluang Johor .

Hadir sama pada majlis penutup Penolong Pengarah Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor Encik Azhar Mohtar, Pengarah Pusat Kebudayaan, Dr. Muhammad Faisal Ahmad, dan Penasihat Program Puan Siti Salwa Jamaldin.

Sementara itu, Pengetua, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob menyifatkan program itu sebagai wadah untuk memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan berkenaan nilai-nilai kesenian bangsa sebagai teras pembentukan masyarakat selain dapat melatih pelajar dalam bidang seni dan budaya di sekolah.

“Ia juga dapat memberi kesedaran kepada mahasiswa UPSI dan juga orang awam dalam melestarikan seni dan budaya masyarakat Malaysia disamping sangat bermanfaat dalam menambahkan ilmu pengetahuan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia agar menjadi lebih cakna terhadap keunikkan budaya tradisional yang terdapat di Malaysia.

“Tuntasnya, bengkel ini secara tidak langsung dapat menyemai semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa UPSI termasuklah orang awam. Oleh yang demikian, hasil daripada program ini sedikit sebanyak dapat membantu membina keyakinan dalam diri pelajar setelah menyertai program ini dimana pelajar telah berani menampilkan diri untuk membuat persembahan tarian zapin walaupun hanya melalui “Zoom Meeting”,” katanya.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)