Media sosial mempunyai banyak sisi baik berbanding buruk jika kita menggunakannya dengan betul. Aplikasi TikTok misalnya yang kini mendahului senarai kegemaran pengguna masa kini, turut mampu menjadi saluran maklumat.

Media sosial secara umum bukan hanya digemari golongan muda, malah generasi berusia juga hampir semuanya memiliki pelbagai aplikasi seperti itu dalam telefon mereka. Hal ini menunjukkan ia sudah menjadi trend semasa bukan hanya dalam negara, tetapi juga seluruh dunia.

Penyampaian kandungan dalam aplikasi media sosial juga umumnya ringkas, tetapi padat. Misalnya jika TikTok, ia membenarkan video yang berdurasi antara 50 saat sehingga tiga minit sahaja. Video yang dipaparkan rata-ratanya bersifat terus ke isinya. Jadi penonton mudah faham apa yang ingin disampaikan. Justeru, kaedah begini memudahkan maklumat disampaikan.

Media sosial juga menjadi penjana sumber pendapatan bagi sesetengah warga net. Jaringan aplikasi yang sangat luas dan berupaya dicapai oleh sesiapa sahaja, membolehkan pengguna memasarkan produk mereka. Disebabkan popularitinya juga, ia menarik minat golongan pengiklan. Seorang pempengaruh (influencer) misalnya mampu meraih antara RM800 hingga RM80,000 untuk tujuan promosi.

Namun, kita juga maklum dengan kesan penggunaan media sosial. Banyak akibat buruk jika ia tidak dikawal dan digunakan secara bijaksana. Dalam konteks ini, pengguna tentu saja perlu menggunakan akal fikirnya yang sihat bagi membatasi diri daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya. – Berita Harian

Nor Aliah Kasim Ong
Universiti Pendidikan Sultan Idris

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my