oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail

Tanjong Malim – Lebih 200 buah karya terbaik melibatkan 96 bakal graduan tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipamerkan di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, bermula pada 9 Februari lalu dan akan berlangsung sehingga 16 Februari ini.

Menurut Ketua Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Dr. Harleny Abd. Ariff, sebanyak 200 buah karya tersebut merupakan tugasan syarat wajib penganugerahan ijazah kepada para bakal graduan pendidikan jabatannya yang merangkumi 14 buah studio seperti seni catan, lukisan, cetakan, kraf tenunan, anyaman, kraf seramik, kraf batik, rekabentuk hiasan dalaman, rekabentuk lanskap dan rekabentuk grafik.

“Sebagai mahasiswa yang bakal menjadi guru kepada golongan masyarakat, pameran ini sekaligus menjadi medan persembahan para pelajar untuk menzahirkan bakat serta kebolehan yang dipelajari sepanjang tempoh pengajian kira-kira empat tahun mereka di kampus ini,”

“Menerusi pameran yang turut menerima kunjungan orang awam terutama komuniti berhampiran daerah Muallim dan berjaya menarik empat ribu pengunjung pada tiga hari pertama pembukaan sekaligus menyokong hasrat UPSI untuk melestarikan pendidikan menerusi langkah memasyarakatkan universiti yang bertuah ini,” jelasnya dalam suatu kenyataan.

Menurut Pensyarah Penasihat dan Penyelaras Projek Tahun Akhir, Dr. Elis Syuhaila Mokhtar, pameran berjudul “Art Chemist : Experimenting Ideas Into Art” yang menggabungkan istilah seni dan kimia mengangkat tema eksperimentasi seni melalui olahan yang digarap menerusi susunan, struktur, proses, sifat dan perubahan sesuatu bahan yang diterjemah ke dalam bentuk karya.

“Proses penghasilan karya bermula selama empat belas minggu PdP kemudiannya dihimpunkan untuk dinilai menerusi pengurusan pameran yang dilaksanakan oleh jawatankuasa dari kalangan mahasiswa sendiri,”

“Menerusi pameran ini juga sekaligus dapat membantu para bakal graduan untuk meneroka potensi bakat yang sedia ada dengan meluahkan ekspresi seni secara komersial dan profesional seterusnya menggalakkan penerapan nilai seorang bakal pendidik berinovasi di kalangan mereka,” jelasnya.

Bahan kitar semula sebagai satira, abadikan seluar jeans arwah abang sebagai karya

Calon graduan Studio Reka Bentuk Lanskap, Beatrice Ana Anak Stewart, merakamkan pengalaman estetik sebagai warga Sarawak menerusi karya N.G.E.T.A.N Edu Park dengan menggunakan sepenuhnya barang buangan yang boleh kitar semula dikutip sekitar studio seni di kampus.

“Saya aplikasikan keseluruhan elemen kraf studio seni di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI seperti anyaman, arca, pembentukan logam, lukisan dan pelbagai lagi dengan mengangkat tema kitar semula sambil memberi penyataan seni secara satira terhadap masalah pengambilan tanah adat secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab di Sarawak,” jelasnya.

N.G.E.T.A.N Edu Park angkat tema Wilayah Sarawak

Mempamerkan motif berkaitan wilayah Borneo secara amnya, karya seni mengangkat tema seni kraf yang menjadi kebanggaan wilayah tersebut bukan saja sebagai identiti, sebaliknya menjadi salah satu penyumbang ekonomi penting masyarakat Sarawak yang kaya dengan keindahan hutan tropika.

Sementara itu calon graduan Studio Tenunan, Wan Nur Hazwani Wan Husain mengetengahkan tiga karya yang turut membangkitkan isu pengurusan sisa industri fesyen yang tidak diberikan perhatian oleh pihak berwajib.

Suntik nafas baru sisa fabrik terpakai

“Saya menyuntik nafas baru pada sisa fabrik terpakai melalui kaedah tenunan hamparan kontemporari dengan membahagikan tiga siri berdasarkan penegasan prinsip ‘reused’ (guna semula), ‘recycle’ (kitar semula) dan ‘repurpose’ (ditakrif semula kegunaan asal) untuk menghasilkan karya ini”

“Saya memilih fabrik jenis denim dan jeans kerana fabrik ini cukup popular dan sering menjadi pilihan pelbagai peringkat masyarakat untuk menggayakannya.”

“Istimewanya karya ini, saya turut abadikan sebanyak 20 pasang seluar jeans yang kerap digayakan oleh arwah abang saya sebelum meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalanraya sekitar bulan Mac 2022,” tambahnya.  

Nota Pengarang: Seorang sahabat yang berkunjung ke pameran ArtChemist 2023 beri pujian melambung hasil karya pameran kali ini. Syabas!

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)