Oleh: Nur Farihah Mohd Fadullah Sahimi (Pegawai U-Media UI)

UPSI– Program Sembang Santai “Lepak Luu Yob Bersama Unit Integriti” telah berlangsung dengan jayanya pada 20 Oktober bersama Pembantu Tadbir Perkeranian/Operasi (PTPO) ‘batch’ kedua yang menguruskan kewangan dan pentadbiran di Pusat Tanggungjawab (PTj) bertempat di Bilik Smart Classroom, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP). Program Sembang Santai ini merupakan siri ketiga selepas 2 siri sembang santai yang telah dilaksanakan pada 17 Februari 2023 dan 26 Mei 2023 melibatkan kumpulan Setiausaha dan kumpulan pertama Pembantu Tadbir Perkeranian/Operasi (PTPO).

Sembang Santai Siri 2 bersama ‘batch’ pertama PTPO (26 Mei 2023)
Sembang Santai Siri 1 bersama kumpulan Setiausaha (17 Februari 2023)

Sesi sembang santai ini adalah salah satu pendekatan Unit Integriti untuk berkenalan dan beramah mesra dengan kumpulan kecil kakitangan secara lebih berfokus berkonsepkan sembang dan santai melibatkan komunikasi dua hala. Selain itu, objektif program ini dilaksanakan adalah untuk menyampaikan mesej integriti berkaitan isu-isu semasa yang melibatkan salah laku integriti, perkongsian isu atau permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan sepanjang berkhidmat di UPSI serta perkongsian amalan terbaik bagi kakitangan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun di UPSI.

Program ini telah dihadiri seramai 23 orang PTPO daripada pelbagai PTj. Antara intipati yang disampaikan kepada PTPO adalah berkaitan dengan pengurusan fail dan rekod PTj, kawalan dokumen terperingkat, pematuhan penggunaan terhadap cop/digital, pematuhan terhadap pengurusan kewangan universiti, tanggungjawab kakitangan, pengurusan aduan, pengenalan Jawatankuasa Teras Gangguan Seksual (JKTGS) UPSI dan Pelan Anti Rasuah (OACP) UPSI.

Program diakhiri dengan sesi perkongsian oleh kakitangan berkaitan dengan isu-isu yang dihadapi sepanjang berkhidmat di PTj serta perkongsian amalan tadbir urus terbaik beserta nasihat-nasihat yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada kakitangan yang baharu berkhidmat di PTj.

Semoga dengan penganjuran sesi sembang santai ini dapat memberikan manfaat untuk kedua-dua belah pohak dalam menambah baik tadbir urus di universiti selain mendapatkan input daripada kakitangan yang merupakan penggerak bagi sesebuah organisasi dalam mencapai matlamat, visi dan misi selaras dengan kehendak pengurusan atasan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)