Oleh: Dr. Fairus Fariza Zainudin & Dr. Nor Fadila Kasim (FSSK)

Phatthalung, Thailand: Seramai 35 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terdiri daripada 18 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Rehabilitasi Sukan), dan 12 orang pelajar daripada Kelab Muay Thai UPSI telah mengikuti Kursus Asas Pensijilan Urutan Thai (Thai Massage) di Thaksin University, Kampus Phatthalung, Thailand menerusi Program Mobiliti Outbound yang berlangsung selama 7 hari bermula 29 Oktober 2023 yang lalu.

Ketua Delegasi iaitu, Profesor Madya Dr. Gunathevan Elumalai berkata “kursus asas pensijilan urutan thai ini merupakan hasil jaringan hubungan kerjasama UPSI dan Thaksin Universiti melalui termetrainya perjanjian MOU yang strategik diantara ke dua-dua buah universiti bagi meningkatkan mutu akademik dan daya saing bakal graduan. Program ini dapat memberikan ruang pembelajaran sebenar kepada pelajar dan memperkayakan  pengalaman pembelajaran pelajar di institusi pendidikan tinggi.’’

Berpaksikan kepada idea pembelajaran globalisasi tanpa sempadan dan pembelajaran merentas budaya, peluang mempelajari kemahiran Urutan Thai  ini  dapat meningkatkan kualiti pembelajaran  dalam bilik kuliah dan memberikan pelajar ruang untuk meneroka kepelbagaian ilmu rawatan dan rehabilitasi sukan secara pengkhususan. Melalui kursus ini pelajar bukan hanya didedahkan dengan ilmu praktikal Urutan Thai, tetapi turut diperkenalkan adalah praktis 10 Senaman Terapeutik Thai serta pembuatan Herbal Inhaler. Bahan yang digunakan di dalam inhaler ini digunakan sebagai relaksasi, aroma terapi dan juga digunakan untuk melegakan sakit kepala, vertigo dan juga hidung tersumbat.

Muhammad Azfar Shariful Azman, pelajar Rehabilitasi Sukan yang kini berada pada semester 5 menyatakan rasa keterujaan dapat mempelajari Urutan Thai, yang merupakan  satu teknik yang popular  dan dikenali diseluruh dunia. Beliau juga menambah bahawa, kemahiran baharu yang dipelajari ini dapat memberikan nilai tambah yang baik dalam kerjaya beliau nanti.

Walaupun sesi kursus ini sangat pendek, namun peluang ini meningkatkan pemahaman pembelajaran dalam kelas dan membuka dimensi pemahaman pelajar terhadap aspek perawatan dan rehabilitasi sukan. Ilmu dan kaedah perawatan perubatan tradisional juga berpotensi untuk digunakan dalam merawat kecederaan dan perubatan sukan. Pensyarah dari Jabatan Perubatan Tradisional Thailand, Dr. Sukanchana berkata, rawatan Urutan Thai secara praktisnya adalah teknik menggunakan urutan dan tekanan  yang dalam dan lama pada 10 garisan tubuh yang dipercayai memberi aliran tenaga. Tambah beliau lagi, kaedah urutan Thai merupakan salah satu sektor yang terdapat dalam perawatan komplimentari dan alternatif dan sedang pesat berkembang. Ia juga boleh dipraktiskan dalam Rehabilitasi Sukan sebagai urutan terapi terutama selepas bersukan.

Mohamed Khairil Haaziq Mohamed, salah seorang pelajar Rehabilitasi Sukan berkata, beliau amat berterima kasih kepada Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan dan UPSI khususnya atas peluang yang diberikan untuk mengikuti program mobiliti ini. Beliau juga berkata, bahawa pensijilan ini bakal memberikan nilai tambah yang baik dalam meningkatkan prospek kerjaya sebagai pegawai Terapi Sukan.

Secara umumnya, program pensijilan terapi urutan sukan ini menyahut seruan Kerajaan Madani bagi meningkatkan kemahiran TVET di kalangan pelajar IPT. Diharapkan pada masa akan datang, UPSI akan dapat menjalankan lebih banyak program seperti ini.