TANJONG MALIM, 28 Januari: Siapa yang tidak tahu dengan Bukit Changkat Asa jelas sekali bukan peminat tegar aktiviti hiking. Bukit yang terletak berdekatan dengan sempadan Selangor dan Perak ini sememangnya menjadi tarikan utama bagi para hikers di sekitar Tanjung Malim.

Kelab Rekreasi Luar UPSI (KERLU) telah mengadakan Program Hiking Bukit Changkat Asa yang telah disertai oleh 54 orang pelajar UPSI. Yuran yang dikenakan kepada setiap peserta hanyalah sebanyak sepuluh ringgit sahaja. MYCAT dan CHAMP juga turut disediakan kepada setiap peserta yang telah mengambil bahagian dalam program tersebut.

“Memasuki minggu yang sibuk ini, adalah sangat baik sekiranya kita melepaskan tekanan melalui aktiviti riadah seperti ini,” kata Steve Simon, 23, yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa program tersebut. Tambahnya, dengan yuran yang hanya sedemikian sangat bebaloi sekiranya para pencinta hiking menyertai program tersebut kerana keindahan panorama alam semula jadi di puncak Bukit Changkat Asa semestinya menjanjikan terapi yang mujarab bagi mereka yang sedang stress berjuang pada minggu-minggu hetic ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa trek hiking di Bukit Changkat Asa ini sangat memikat hati para pengunjung sama ada baru pertama kali atau pun mereka yang sudah pernah hiking tetapi masih menyimpan hasrat untuk kembali. Para hikers yang pernah berkunjung ke situ memberikan maklum balas yang positif dan menyatakan bahawa bukit tersebut amat sesuai bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti hiking. “Sesiapa sahaja yang baru pertama kali mengikuti aktiviti hiking boleh merealisasikan keinginannya untuk menawan Bukit Changkat Asa,” ujar mereka.

Jarak perjalanan dari stesen KTM Tanjung Malim hingga ke puncak bukit adalah kira-kira 3 km dan mengambil masa 45 minit sehingga sejam lebih bergantung kepada kemampuan fizikal seseorang individu. Pendaki hanya perlu melalui sebuah kampung iaitu Kampung Lambak sebelum sampai ke kaki bukit.

Seorang pencinta hiking menuliskan sebuah blog dan memberi saranan kepada para pengunjung untuk membuat dakian pada waktu pagi. “Waktu yang paling sesuai untuk hiking adalah pada pukul 8 hingga pukul 9 pagi kerana sesampai sahaja di puncak, pendaki boleh menyaksikan keindahan matahari terbit. Pada waktu ini juga pencahayaan sangat baik dan ini adalah masa yang tepat bagi sesiapa sahaja yang ingin mengabadikan gambar foto di puncak bukit tersebut.” Jelasnya menerusi penulisan blog miliknya. “Jika kamu beruntung dan malam sebelum aktiviti pendakian adalah hujan, kamu dapat menyaksikan awan bak permaidani yang dapat dilihat dari puncak bukit tersebut,” jelas seorang pendaki lagi di ruangan komen blog tersebut.

Antara tarikan lain aktiviti hiking Bukit Changkat Asa selain keindahan hutan paku pakis di sepanjang trek hiking adalah keajaiban alam semula jadi tumbuhan yang dikenali sebagai Pokok Gelam Merah (The Red Forest) yang memberikan sentuhan estetika dalam pengabadian fotografi. Selain itu, trek yang agak mencabar dengan tanah merah yang cerun dan hanya tersedia tali untuk berpaut semestinya mencabar kemampuan fizikal seseorang.

Warga Muallim, jangan lepaskan peluang ini untuk anda menawan Bukit Changkat Asa. Semestinya anda tidak akan menyesal dan yang sudah pernah mendaki pasti ingin mengulanginya lagi hanya untuk merasai keindahan alam serta panorama yang memukau di puncak bukit tersebut.