Tanjong Malim, 27 April 2024 – Sedarkah kita ancaman siber pada masa kini secara aktif dan drastik menyerang semua golongan masyarakat? Lanjutan bagi membudayakan amalan “Tidak pasti, Jangan kongsi”, Persatuan Kejuruteran Perisian, Fakulti Komputeran & Meta-Teknologi (META) dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bekerjasama dengan Pusat Ekonomi Digital (PEDI) Taman Hijau, Tanjong Malim bagi melaksanakan program Celik Digital: Cegah Ancaman Siber yang bercirikan informatif, interaktif dan menyeronokkan. Program sembang santai ilmiah ini disertai oleh 20 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat sekitar Tanjong Malim, Perak, termasuklah kanak- kanak berumur 10 hingga 15 tahun, suri rumah dan juga remaja kelainan upaya berumur 28 tahun.

Menurut Pengarah Program Celik Digital, Marfuatul Nafisa Omar yang juga merupakan mahasiswa Semester 6 Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Perisian Pendidikan) AC10, program ini bertujuan untuk mewujudkan sesi perkongsian ilmu yang interaktif antara golongan mahasiswa UPSI dan juga komuniti setempat di Tanjong Malim, khususnya berkaitan ancaman siber, termasuk buli siber dan langkah mengatasi ancaman siber masa kini.

“Program sebegini bermatlamat meningkatkan kesedaran semua lapisan masyarakat walaupun kebanyakan sudah celik teknologi, agar tidak meremehkan risiko penggunaan ruang siber yang sukar dijangka ini,” katanya.

Sesi sembang santai ilmiah bertempat di PEDI Taman Hijau ini berjaya dilaksanakan selama dua hari, yang melibatkan tiga sesi ceramah interaktif dengan tiga topik berkaitan ancaman siber. Sesi pertama bertajuk “Tak Pasti, Jangan Kongsi” oleh mahasiswa AC10 dari Persatuan Kejuruteraan Perisian yang juga merangkap ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UPSI, Puteri NurFazlien Jaimi. Antara lain, sesi pertama ini memberikan pendedahan berkenaan apa itu risiko ancaman siber masa kini, di samping mendapatkan maklum balas dan informasi para peserta berkenaan pengalaman dalam menggunakan alam siber.

Sesi kedua dikendalikan oleh mahasiswa AC10 dan juga usahawan siber, Muhammad Yusof Ibrahim dengan tajuk “Online Shopping dan Perbankan Atas Talian”. Kesinambungan dari sesi pertama, peserta semakin teruja dan tertarik apabila Yusof berkongsi pengalaman beliau dalam menyesuaikan diri sebagai usahawan siber terutama sekali sewaktu negara dilanda wabak Covid-19.

Pada hari kedua, sesi ceramah interaktif diteruskan dengan sesi ketiga bertajuk “Awas! Scammer..” oleh mahasiswa AC10 yang juga Pengerusi Kelab Kaunseling UPSI, Ahmad Shahrul Azril bin Mohd Yusof. Pelbagai aktiviti permainan secara praktikal dan atas talian dijalankan bersama peserta sewaktu sesi ceramah dijalankan bagi membantu peserta mengingati tips dan nasihat penting berkaitan masalah Scammer.

Bagi merasmikan penutupan program Celik Digital siri 01 ini, Penasihat PEDI Taman Hijau merangkap Ketua Jabatan Kejuruteraan Perisian & Teknologi Pintar, META, Dr Suliana Sulaiman telah megucapkan setinggi terima kasih dan tahniah kepada barisan gerak kerja program, peserta dan pihak PEDI Taman Hijau atas pengurusan menganjurkan program seumpama ini yang berupaya memupuk semangat perkongsian ilmu dan menyatu padukan masyarakat dan mahasiswa, selaras dengan aspirasi Naib Canselor UPSI iaitu bagi memperkukuhkan keinsanan mahasiswa UPSI.

Penasihat bersama program yang juga merupakan pensyarah AC10 iaitu Rohaizah Abdul Wahid dan Asma Hanee Ariffin juga turut serta bersama para peserta selama dua hari program berlangsung. Mereka juga menzahirkan setinggi terima kasih di atas ruang dan peluang yang diberikan oleh pihak PEDI dan pihak UCTC, UPSI bagi membolehkan interaksi bersemuka secara aktif dilaksanakan oleh para mahasiswa AC10 bersama para peserta yang terdiri dari komuniti setempat Tanjong Malim. Diharapkan program seumpama ini akan mendapat sokongan padu semua pihak, demi kesejahteraan Bersama.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)