Oleh: Nur Masitah binti Roslan – 29 Mei 2024

Tanjong Malim – Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan,  Universiti Pendidikan Sultan Idris  melalui Persatuan Mahasiswa Sejarah UPSI (PERMAS) menganjurkan program Bengkel Pembuatan Resin Replika Artifak Kepada Pelajar Sempena Musim Cuti Sekolah yang melibatkan 38 orang peserta daripada beberapa buah sekolah di sekitar Tanjong Malim, Perak. Lingkungan para peserta yang terlibat adalah daripada 7 hingga 15 tahun.

Program yang berlangung daripasa jam 8 pagi sehingga 5 petang sememangnya sebuah program yang sangat berkesan untuk dilaksanakan bagi menarik minat para pelajar terhadap mata pelajaran Sejarah serta mengisi masa lapang  mereka sempena cuti sekolah yang sedang berlangsung.

Menurut Pengarah Program, Adi Ratna Mohammed Nor, Penolong Kurator FSK, sememangnya pelaksanaan bengkel ini adalah untuk memperkenalkan salah satu cabang dalam arkeologi iaitu duplikasi artifak, mendedahkan kepada pelajar kaedah dalam menghasilkan alat batu  dalam pengajaran dan pembelajaran yang moden dan lebih efektif serta memupuk minda generasi muda dalam bidang arkeologi.

Tambahan lagi, ia juga untuk memberikan suasana pembelajaran yang bersifat praktikal, bukan sekadar teori dalam kelas sahaja.

”Dapat dilihat bahawa semua peserta yang terlibat sangat seronok dan gembira kerana dapat membuat resin sendiri dan yang paling ditunggu-tunggu adalah hasil resin tersebut selepas mengeras dan dibawa pulang sebagai kenangan dan pengalaman.

Ia juga adalah peluang yang baik untuk saya, sebagai seorang mahasiswa Pendidikan Sejarah untuk menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam mengajar para peserta serta menanam minat mereka dalam bidang Sejarah” ujar Masitah, fasilitator program.

Fasilitator yang terlibat sedang membantu peserta untuk membuat resin.

Selain daripada membuat resin, para peserta juga diberi pengalaman untuk melakukan proses ekskavasi dimana ia adalah salah satu langkah untuk mencari artifak atau jumpaan sejarah.

Proses tersebut walaupun dilihat agak penat, namun para peserta sangat teruja untuk melakukan aktiviti galian dan menjumpai artifak yang ditanam.

Para peserta yang sedang melakukan aktiviti ekskavasi untuk mencari artifak sebagai satu pendedahan dalam bidang arkeologi dengan pemantauan fasilitator yang bertugas.

Ibu bapa para peserta mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur program melalui ruangan komunikasi di aplikasi Whatsapp kerana melaksanakan program ini semasa cuti sekolah.

Maklum balas positif seperti program yang menarik dan berkesan secara tidak langsung memberikan satu suntikan semangat untuk pengarah program menjalankan program ini sekali lagi sekiranya diberikan peluang kerana nilai sejarah yang ada sangat berharga untuk dikongsi bersama generasi baharu ini