Oleh: Nureen Ardini Mohamad & Najwa Suhairol Nizam

Tanjong Malim, 2 Oktober 2024 – Minecraft merupakan salah satu permainan yang semakin meningkat pada masa kini. Ia merupakan permainan sandbox yang mana pemain boleh membina apa sahaja, dari rumah kecil hingga bandar besar dengan menggunakan blok-blok yang tersedia dalam dunia 3D yang luas. Minecraft juga sangat popular disebabkan komuniti modding nya yang besar yang membolehkan pemain menambah ciri-ciri baru dan meningkatkan pengalaman permainan.

Minecraft bukan sahaja dikenali sebagai permainan video popular, tetapi juga sebagai alat pembelajaran yang inovatif. Minecraft mula mendapat perhatian apabila para pendidik dan pakar teknologi melihat potensi permainan ini untuk membantu para pelajar belajar dengan cara yang interaktif dan kreatif.

Oleh itu, bagi menyokong pembaharuan cara pembelajaran remaja zaman kini, Exco Media, Publisiti dan Informasi daripada Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAKK) sidang 2024/2025 telah menganjurkan Program Minecraft dalam Dunia Pendidikan (MiDuPen) yang melatih mahasiswa menjadi lebih kreatif dan inovasi dalam dunia teknologi.

Program ini juga dapat memberi ruang kepada mahasiswa untuk meneroka permainan digital dalam pendidikan serta menjadikan ia sebagai platform melalui permainan digital. Secara tidak langsung dapat merangsang dan memupuk kreativiti mahasiswa dalam mencipta permainan digital bagi bidang pendidikan.

Program yang bertempatkan di Bilik Microteaching Aras 3, Blok 9, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Kampus Sultan Azlan Shah(KSAS), UPSI telah menarik seramai 40 mahasiswa menyertai program ini bagi menambah ilmu dalam pendidikan sejurus memantapkan kreativiti mereka. Para mahasiswa telah diberi tugasan untuk menghasilkan dunia Minecraft mengikut kreativiti sendiri.

Panel pertama, pensyarah Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi Dr. Erni Marlina telah menyampaikan maklumat yang berguna melalui penggunaan teknologi dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak. Selain itu, beliau juga berkongsi tentang kelebihan permainan digital yang menggunakan blok seperti Scratch, Tynker dan Minecraft.

Panel kedua guru yang berkhidmat di Taiping, Goh Kok Ming selaku panel kedua bagi program ini telah memilih tiga terbaik yang telah menghasilkan dunia Minecraft yang menarik serta kreatif dengan memberi sumbangan cenderahati daripada program ini.

Ketua Jabatan, Dr. Seah Siok Peh telah merasmikan program tersebut. Beliau juga berharap agar program ini dapat mendatangkan manfaat yang besar kepada semua peserta, terutama dalam usaha kita untuk menggabungkan teknologi dan pendidikan secara menyeluruh.

Selaku Pengarah Program, Ainur Fatihah Roslan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan dan kerjasama barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) pelaksana yang diketuai oleh Exco Media, Publisiti dan Informasi dan juga bimbingan Norrulkamari Daud, selaku penasihat persatuan Diploma PAKK, yang turut sama memacu program ini dengan jayanya.

Program ini mencapai matlamat yang telah disusun iaitu menggalakkan pembelajaran secara kreatif melalui penggunaan teknologi digital. Selain itu, mahasiswa dapat memahami tentang Minecraft dan bagaimana penggunaanya dalam bidang pendidikan. Pada era yang sedang meningkat naik dengan teknologi yang semakin canggih, program ini telah menyediakan ruang dan peluang kepada mahasiswa dalam meneroka dunia digital bersesuaian dengan peredaran zaman dan teknologi semasa. Semoga generasi muda di negara ini menjadi generasi yang berjaya dalam memacu negara ke arah kemajuan dan progresif yang berkekalan serta mampu menggunakan ICT selaras dengan kemajuan negara luar.