Oleh: Mohd Danial Khan Badru Zaman Khan
Tanjong Malim,13 Disember 2024- Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI menganjurkan program FPE Sejahtera untuk Komuniti Siri 1 bertempat di Pusat Pembelajaran dan Pengasingan Barang Kitar Semula, Tanjong Malim.
Program ini merupakan satu inisiatif untuk menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa serta membentuk keterampilan sosial melalui kemahiran insaniah dan hubungan silaturahim.
Program ini disertai oleh kira-kira 50 orang mahasiswa FPE bersama ahli jawatankuasa pelaksana. Aktiviti utama yang dirancang ialah bergotong-royong mengasingkan barang kitar semula di pusat tersebut. Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan aktiviti kitar semula dalam memastikan kelestarian ekosistem.

Menurut Danial Khan, program ini bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam kegiatan komuniti, malah turut menggalakkan mereka memahami kepentingan menjaga alam sekitar melalui aktiviti kitar semula.
Beliau menambah, “Program FPE Sejahtera untuk Komuniti ini bertujuan untuk memupuk nilai kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa FPE sambil memberi pendedahan tentang kepentingan kitar semula untuk kesejahteraan alam sekitar. Kami berharap program ini dapat menyemai kesedaran bahawa setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian ekosistem. Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk mengukuhkan hubungan silaturahim serta membangunkan kemahiran insaniah yang penting untuk kehidupan masa hadapan.


FPE dan MPP UPSI memainkan peranan penting sebagai penganjur utama dengan sokongan penuh terhadap pelaksanaan program ini. Dengan kolaborasi erat ini, program ini dijangka meninggalkan impak besar terhadap mahasiswa dari segi pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang sukarelawan.
Selain itu, FPE Sejahtera Untuk Komuniti Volume 1 selari dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 17 (Kerjasama untuk Matlamat), dan SDG 5 (Kesaksamaan Gender). Ini membuktikan bahawa program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta tetapi juga menyumbang kepada agenda pembangunan mampan global.
Program ini diharapkan dapat membentuk komuniti mahasiswa yang lebih cakna akan isu-isu alam sekitar dan menjadikan aktiviti kitar semula sebagai budaya harian dalam kehidupan mereka.
Dengan harapan yang tinggi, program ini bakal menjadi platform terbaik untuk mahasiswa memupuk nilai kesukarelawanan, keterampilan sosial, dan rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar.
